Baru-baru ini, wakil-wakil Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, telah menghadiri sesi perbincangan bersama-sama Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi Program Pensarjanaan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP). Sesi perbincangan yang diadakan pada 5 Oktober 2020 ini telah dianjurkan oleh Bahagian Profesionalisme Guru (BPG), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Objektif perbincangan adalah mekanisme serta bantuan kepakaran UiTM dalam membantu BPG mencapai matlamat persarjanan guru-guru Malaysia. Ini adalah selaras dengan aspirasi dan usaha KPM dalam memastikan para guru memiliki sekurang-kurangnya kelayakan di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.
Wakil Fakulti Pendidikan terdiri daripada Prof. Madya Dr. Nabilah Abdullah, Dekan Fakulti Pendidikan; Prof. Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Timbalan Dekan Akademik Fakulti Pendidikan; dan Puan Zulfa Zainal Abidin, Penolong Pendaftar Kanan (Akademik) Fakulti Pendidikan. Turut mewakili UiTM adalah Prof. Dr. Haslinda Yussof, Dekan Pusat Pengajian Siswazah.
Fakulti Pendidikan komited dan sentiasa menyokong KPM dalam semua inisiatif peningkatan profesionalisme guru-guru Malaysia. Salah satu penyumbang signifikan dalam usaha persarjanaan guru, pelbagai program telahpun dilaksanakan oleh Fakulti Pendidikan sebelum ini termasuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Pendidikan (DP) yang ditawarkan khusus kepada bakal-bakal guru dan guru-guru dalam perkhidmatan.