Fakulti Farmasi Dekati Komuniti Melalui Ecopharma@UiTM Cawangan Selangor 2024

Puncak Alam, 19 Oktober 2024 – Fakulti Farmasi UiTM dengan kolaborasi bersama rakan strategik, Alpro Pharmacy dan Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti, Kementerian Kesihatan Malaysia telah berjaya menganjurkan EcoPharma@UiTM Cawangan Selangor 2024 bertempat di Masjid Puncak Alam. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kaedah pengurusan ubat-ubatan dan sisa farmaseutikal dengan lebih baik dan selamat.

Hadir menyempurnakan perasmian adalah YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UCS, bersama-sama YBhg. Profesor Dato Abu Bakar Abdul Majeed, Dekan Fakulti Farmasi dan YBrs. Prof Madya Sr. Dr Rosmadi Ghazali, Timbalan Rektor iCARE. Turut hadir adalah wakil dari Majlis Permuafakatan Penduduk Bandar Puncak Alam Institute of Continuing Education and Professional Studies ICEPS, Aafiyat Holdings dan Pfizer. Program ini mendapat sokongan dari pelbagai pihak mencerminkan komitmen bersama terhadap kesihatan dan kelestarian alam sekitar.

Antara objektif utama program ini adalah untuk mendidik masyarakat agar lebih bijak mengendalikan ubat-ubatan yang tidak digunakan lagi, selain memastikan sisa farmaseutikal diuruskan dengan selamat dan tidak membahayakan alam sekitar. Program EcoPharma juga berperanan sebagai pemangkin kepada sinergi yang lebih erat antara institusi akademik, sektor perubatan dan komuniti setempat. Dengan penglibatan pelbagai pihak diharapkan program seumpama ini dapat memberi impak yang lebih besar pada masa hadapan.

Galeri Gambar: