Exercising at Night : Myths & Facts: Bersama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Pahang

Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) terdiri daripada 17 matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Secara ringkasnya ianya meliputi kemajuan masyarakat, perlindungan sosial, kesihatan, kemiskinan, pendidikan, peluang pekerjaan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar. Bagi menyahut saranan Program Pembangunan Negara Bersatu untuk bidang SDG 3 : “Memastikan kehidupan yang sihat dan meningkatkan kesejahteraan pada semua peringkat usia”,Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program Webinar Pada 27 Mei 2021 (Khamis), jam 3 sehingga 4 petang, yang bertajuk Exercising at night : Myths & Facts menggunakan medium dalam talian maya Webex.

Tujuan program Webinar ini diadakan adalah bagi menyingkap dan mengupas mitos dan fakta bersukan pada waktu malam di samping membetulkan tanggapan yang telah sekian lama bersarang di dalam fikiran individu. Oleh demikian, program Webinar ini telah menjemput Dr Jasmiza Khuzairi Jasme, Pakar Perubatan Sukan Institut Sukan Negara, selaku panel bagi menyampaikan maklumat yang tepat sejajar dengan tajuk program. Program ini, telah dikendalikan oleh En Mohd Zulkhairi Mohd Azam yang merupakan pensyarah kanan FSR UCPh merangkap moderator bagi program Webinar tersebut. Program ini juga telah berjaya menarik minat 455 orang peserta dari kalangan pendidik dan mahasiswa/i institusi pengajian tinggi, guru-guru, jurulatih dan orang awam dari pelbagai bidang.

Sepanjang sesi program Webinar selama 1 jam ini, Dr Jasmiza telah menjawab pelbagai persoalan berkenaan fakta dan mitos bersukan pada waktu malam disamping berkongsi ilmu, maklumat dan tips yang perlu diambil kira sebelum,semasa dan selepas bersukan pada waktu malam bagi mencegah kepada permasalahan fisiologi dan psikologi setiap individu. Melalui sesi ini juga, banyak persoalan yang diberikan oleh para peserta yang dapat dirungkaikan dan secara tidak langsung telah memberikan ilmu dan membuka minda para peserta untuk melakukan aktiviti dengan selamat di samping menangkis mitos-mitos yang berkaitan aktiviti sukan pada waktu malam. Berdasarkan pelan strategik Universiti, penganjuran program sebegini dapat memberikan faedah dan kebaikan demi jangkauan dalam komuniti dan masyarakat untuk meningkatkan dan mempromosikan kesihatan & kesejahteraan.

Jawatankuasa Pelaksanaan program juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan para peserta atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.