Episod 3: Program Pemantapan Akademik dan Sahsiah Pelajar PPT UiTMCJ

Tanggal 12 Mei 2022, bersamaan Khamis, jam 12.00 tengahari hingga 2.00 petang, Unit Kerjaya dan Kaunseling dan Unit Pra Pendidikan Tinggi (PPT)UiTM Cawangan Johor (UiTMCJ) meneruskan usaha murni dalam memantapkan sahsiah dan perjalanan akademik pelajar-pelajar PPT.

Episod ketiga Pogram Pemantapan Akademik dan Sahsiah Pelajar PPT ini memfokuskan kepada Penjagaan Diri & Kesihatan Mental ke Arah Peningkatan Pencapaian Akademik.

Penganjuran program ini bertujuan untuk memperkasakan diri untuk kesejahteraan mental dan emosi. Ianya dilihat sebagai satu langkah serta usaha membimbing dan memberi sokongan kepada pelajar dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran ini. Dengan menyedari tanda-tanda masalah kesihatan mental dan mengambil langkah yang sesuai, ia dapat membawa perubahan positif yang berkekalan.

Program ini dikendalikan dalam bentuk aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dikendalikan oleh fasilitator iaitu Cik Wan Noradila binti Wan Mohd Zain (Pegawai Psikologi Kanan), Cik Wan Nurul Aisyah binti Wan Mohd Yen (Kaunselor Pelatih UMT) dan Cik Nur Afiqah Farisya binti Abd Halim (Kaunselor Pelatih UMT). Terdapat empat (4) slot LDK yang dilaksanakan iaitu slot LDK 1: Anda OK?, LDK 2: Yang Mana Satu, LDK 3: Tarik, Hembus… dan LDK 4: Self-Care as First Aid. Dalam aktiviti kali ini, para pelajar melakukan ujian saringan kesihatan mental melalui ujian Depression, Anxiety and Stress Scale (DASS). Seterusnya, fasilitator berkongsi mengenai tips mengurus mental sihat, dan aktiviti menguji kefahaman peserta mengenai stigma kesihatan mental. Fasilitator juga berkongsi teknik pernafasan yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian sekiranya berhadapan dengan isu keresahan atau serangan panik. Akhir sekali, para peserta diajar mengenai penjagaan diri ke arah mental yang lebih sihat.

Semoga dengan penganjuran program ini mampu memberikan impak besar kepada mahasiswa yang terlibat dan menjadi medium yang baik untuk mendidik mahasiswa menjadi lebih prihatin mengenai kesihatan mental. Pengisian program seperti ini menjadi pendekatan untuk mendedahkan tentang kepentingan menjaga kesihatan mental kepada golongan mahasiswa. Semoga isu-isu kesihatan mental dapat ditangani dengan lebih baik pada masa-masa akan datang, InsyaAllah.

Penulis:  Siti Zarikh Sofiah Abu Bakar, Wan Noradila Wan Mohd Zain