SHAH ALAM, 11 JUN 2023 – Higher Education Malaysia Association (HEYA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Unit Korporat dan Tugas-Tugas Khas Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menganjurkan Bengkel Konsultasi dan Kursus Pemantapan Organisasi Bagi Penubuhan Kesatuan Mahasiswa. Bengkel ini telah diadakan di Dewan Mawar Qaseh, Kolej Kediaman Mawar, UiTM Shah Alam yang menghimpunkan lebih 30 orang pemimpin pelajar daripada kalangan MPP, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dan wakil-wakil persatuan dalaman dan luaran UiTM.
Antara objektif utama penganjuran bengkel ini adalah bagi menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasakan mahasiswa. Selain itu, program ini menjadi platform penganjur bagi meninjau pendapat pemimpin pelajar terhadap penubuhan Kesatuan Mahasiswa untuk penambahbaikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada masa yang akan datang. Dalam pada itu, penganjuran bengkel sebegini adalah untuk mencungkil dan memperkasa kemahiran kepimpinan pelajar agar mereka lebih bersedia dalam pertubuhan, pengoperasian dan tadbir urus Kesatuan Mahasiswa yang lebih sistematik.
Bengkel yang berlangsung selama satu hari ini telah dipenuhi dengan slot-slot berkualiti seperti pengenalan Kesatuan Mahasiswa, konsultasi penambahbaikan AUKU, slot pengurusan organisasi dan sesi perbincangan dalam kumpulan. Di samping itu, semua pemimpin pelajar yang terlibat telah menjalani simulasi aktiviti berkumpulan yang dapat membantu mereka memberikan pandangan yang realistik dan rasional sesuai dengan peredaran semasa. Semua pengisian yang telah diperkenalkan dalam program ini secara tidak langsung dapat membangunkan organisasi pemimpin pelajar UiTM yang lebih matang dan efisien pada hari muka.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Asyraf Radzwan (Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Kepimpinan dan Sahsiah, Bahagian Mahasiswa Holistik KPT). Turut hadir ke program ini ialah YBrs. Encik Ooi Tze Howe (Presiden HEYA) dan barisan konsultan daripada HEYA. Dengan penglibatan dan sokongan yang jitu seperti ini, BHEP berharap agar KPT dan lebih banyak Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan menganjurkan program berimpak tinggi bagi kemaslahatan mahasiswa UiTM pada masa kini. Ironinya, hasrat UiTM dalam menjadi Globally Renowned University (GRU) 2025 juga akan tercapai kerana warganya yang didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang berimpak tinggi sebegini.