Ekspo Selangkah Ke UiTM 2024 Mensasarkan 51,500 Bakal Mahasiswa Bagi Sesi Kemasukan 2024/2025

SHAH ALAM, 2 JUN 2024 – Lebih 15,000 pengunjung yang datang ke Ekspo Selangkah ke UiTM (ESKU) yang berlangsung selama dua hari pada 1 dan 2 Jun 2024 bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, bermula 8.30 pagi sehingga 5.00 petang. ESKU 2024 turut diadakan secara serentak di UiTM Cawangan seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

ESKU 2024 merupakan platform yang dinantikan oleh pelajar lepasan SPM dan Kolej Matrikulasi sejak ia dianjurkan pada tahun 2008. Seramai 373,525 pelajar yang telah menerima keputusan SPM pada 27 Mei yang lalu, dijangka akan memanfaatkan EKSU yang dianjurkan oleh pihak UiTM bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kursus dan program yang ditawarkan serta diminati. ESKU kali juga menampilkan reruai yang interaktif kepada para pengunjung dengan penyediaan maklumat yang komprehensif kepada bakal mahasiswa bukan sahaja mengenai kursus yang boleh dipohon, malah peluang dana serta bantuan yang disediakan oleh pihak Universiti.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Ros yakin bahawa ESKU dapat memberikan impak yang sangat besar kepada enrolmen mahasiswa dan minat mereka untuk melanjutkan pengajian ke UiTM. EKSU 2024 mensasarkan jumlah pengambilan sebanyak 51,500 bakal mahasiswa pada sesi kemasukan 2024/2025. Kadar peratusan kebolehpasaran graduan UiTM juga telah meningkat kepada 89.5 peratus berbanding tahun 2022. Peratusan ini hampir mencapai 90% yang disasarkan pada tahun 2025 dan sehingga kini UiTM menawarkan lebih daripada 500 program akademik di semua UiTM cawangan di setiap negeri. Kesemua 14 fakulti, 4 Kolej Pengajian dan 9 pusat akademik mengambil bahagian dalam penganjuran ESKU 2024.

UiTM juga turut tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject 2024, bagi 18 subjek. Antaranya, Pengurusan Hospitaliti dan Rekreasi yang berada pada kedudukan 50-100 di dunia, Kejuruteraan Petroleum, pada kedudukan 150 terbaik dunia serta Seni dan Reka Bentuk berada pada kedudukan 200 terbaik dunia. Antara subjek lain yang disenaraikan ialah Seni Bina/Persekitaran Binaan, Perakaunan dan Kewangan, Undang-undang, Kejuruteraan Kimia, Pertanian dan Perhutanan, serta Perubatan. Kesemua faktor ini akan menyumbang kepada pemilihan kepada bakal mahasiswa untuk menyambung pengajian mereka di UiTM.

ESKU 2024 bertjujuan untuk memberikan pendedahan dan maklumat yang tepat serta menjawab segala persoalan berkaitan program akademik secara terus kepada bakal mahasiswa dan orang ramai. Oleh itu, ESKU 2024 merupakan platform terbaik untuk bakal mahasiswa membuat pilihan yang tepat dan sesuai berdasarkan keputusan yang diperoleh.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai syarat kemasukan ke UiTM serta khidmat nasihat daripada Bahagian Pengambilan Pelajar. Semakan syarat kemasukan awal boleh dibuat dengan melayari laman sesawang pengambilan.uitm.edu.my/e-syarat atau Sistem Semak Syarat melalui selangkah.uitm.edu.my.