Ekspo Selangkah Ke UiTM 2022 Mensasarkan Bakal Enrolmen Sebanyak 160,000 Mahasiswa

SHAH ALAM, 14 JUN 2022 – Ekspo Selangkah ke UiTM (ESKU) kembali menemui bakal mahasiswa secara hibrid dan bersemuka selama empat hari bermula 16 – 17 Jun 2022 (atas talian) dan 18 – 19 Jun 2022 secara fizikal bertempat di i-City Convention Centre (iCCC), Shah Alam bermula 8:30 pagi sehingga 5:00 petang. ESKU juga turut diadakan secara fizikal di setiap UiTM Cawangan yang lain.

Ekspo Selangkah Ke UiTM   merupakan satu jenama yang telah dianjurkan selama 14 tahun bermula pada tahun 2008. ESKU ini merupakan satu platform yang sering dinantikan oleh para pelajar lepasan SPM dan Kolej Matrikulasi. Tujuannya untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai program yang ditawarkan oleh UiTM. Pada tahun 2018, ESKU di Shah Alam tidak dapat dianjurkan kerana UiTM menjadi tuan rumah bagi Karnival Jom Masuk IPT peringkat zon Selangor yang diadakan di Padang Kawad UiTM. Namun ESKU di UiTM Kampus Cawangan masih dianjurkan seperti biasa. Manakala, semasa pandemik melanda, ESKU telah dijalankan secara atas talian sepenuhnya.

Naib Canselor UiTM yakin bahawa ESKU dapat memberi impak yang sangat besar kepada enrolmen mahasiswa dan minat mereka untuk melanjutkan pengajian ke UiTM. UiTM mensasarkan unjuran enrolmen sebanyak 160,000 mahasiswa. Semasa eskpo secara maya tahun sebelum ini, UiTM mendapat kunjungan sambutan secara maya seramai 35,000 orang. Dengan terserlahnya nama UiTM serta kejayaan ranking yang diperolehi, EKSU tahun ini dijangka mendapat sambutan baik dan lebih meriah.

UiTM menawarkan lebih daripada 500 program akademik di semua UiTM cawangan di setiap negeri. Tambah beliau lagi, kesemua 17 fakulti, 2 Kolej Pengajian dan beberapa pusat akademik akan mengambil bahagian dalam penganjuran Ekspo Selangkah ke UiTM yang akan berjalan di seluruh kampus UiTM. Tujuannya untuk memberikan pendedahan dan maklumat yang tepat serta menjawab segala persoalan berkaitan program akademik secara serta merta kepada bakal mahasiswa dan orang ramai. Oleh itu, ESKU 2022 merupakan platform terbaik untuk bakal mahasiswa dalam membuat pilihan yang tepat dan sesuai berdasarkan keputusan yang diperoleh.


Antara fakulti/pusat akademik yang turut serta dalam penganjuran Ekspo Selangkah Ke UiTM
ialah:

• Semua 17 Fakulti
• 2 Kolej Pengajian (Pengajian Kejuruteraan dan Pengajian Seni Kreatif)
• Pusat Asasi UiTM
• Akademi Pengajian Bahasa
• Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
• INTEC Education College
• Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional
• Institut Pengajian Siswazah
• Bahagian Hal Ehwal Pelajar
• Bahagian Pengambilan Pelajar
• Bahagian Hal Ehwal Akademik
• Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya UiTM
• Pusat Kerjaya dan Kaunseling

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai syarat kemasukan ke UiTM serta khidmat nasihat daripada Bahagian Pengambilan Pelajar. Bakal mahasiswa yang berminat untuk memasuki UiTM boleh membuat semakan syarat kemasukan awal dengan melayari laman web pengambilan.uitm.edu.my/e-syarat atau Sistem Semak Syarat di selangkah.uitm.edu.my.

ESKU 2017
ESKU 2018