Puncak Alam, 19 Januari 2025 – Program Eksplorasi Rukun Negara yang bertemakan “Meningkatkan Pemahaman dan Perpaduan Masyarakat Muda” berjaya dianjurkan oleh Sekretariat Rukun Negara UiTM Cawangan Selangor, dan telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Hajjah Rohaida Abdul Kadir, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Selangor.
Turut hadir adalah YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor dengan diiringi oleh barisan pengurusan kanan. Program ini merupakan aspirasi Kementerian Perpaduan Negara dalam memupuk dan meningkatkan kesedaran golongan muda mengenai prinsip-prinsip Rukun Negara dan peranan pentingnya dalam membina masyarakat yang bertanggungjawab dan harmoni. Selain mahasiswa daripada UiTM, program ini turut berjaya menghimpunkan mahasiswa IPTA dan IPTS di Negeri Selangor.
Program turut disertai oleh pelajar Politeknik Sabak Bernam, Unisel dan Lyncon University. UiTM Cawangan Selangor percaya pendidikan memainkan peranan strategik dalam memupuk pemahaman mendalam dan penghayatan terhadap nilai-nilai Rukun Negara. Nilai-nilai ini harus disemai secara sistematik melalui kurikulum, aktiviti kokurikulum, dan program komuniti yang mampu melahirkan generasi yang berjiwa patriotik, memahami keperluan integrasi nasional, dan menghargai kepelbagaian budaya.
Penganjuran program ini menjadi bukti komitmen UiTM dan Sekretariat Rukun Negara dalam memacu kesedaran sosial dalam kalangan belia. Diharapkan usaha sebegini terus diteruskan untuk melahirkan generasi muda yang lebih bertanggungjawab, bersatu padu dan berdaya saing demi masa depan negara.