Pada 31 Ogos 2022 sehingga 3 September 2022, tiga orang pensyarah Akademi Pengajian Bahasa dari Universiti Teknologi Mara Kampus Jengka telah menyertai Ekspedisi Batek Kuala Tahan. Kumpulan pensyarah ini diketuai oleh Profesor Madya Dr YM Tengku Intan Suzila Binti Tengku Sharif bersama dua orang pensyarah iaitu Cik Qistina Binti Ibrahim dan Cik Intan Fitri Aisyah Binti Hamzah. Tujuan penyertaan ini adalah untuk mengkaji penerimaan pelajar orang asli Batek terhadap aplikasi permainan berasaskan pembelajaran Bahasa Inggeris di dalam telefon bimbit.
Objektif
Kajian selama empat hari tiga malam ini dimulakan dengan kunjungan ke sebuah perkampungan orang asli Batek iaitu Kampung Tersek. Kampung kecil ini didiami oleh sekumpulan orang asli Batek bersama ahli keluarga mereka. Terdapat beberapa orang kanak-kanak berumur sekitar 5-12 tahun yang ditemui pada kunjungan pertama ini. Dengan pengalaman yang dimiliki oleh Prof Madya Dr YM Tengku Intan Suzila yang sudah tidak asing lagi dengan warga di kampung ini, kumpulan pensyarah ini dapat mendekati kanak-kanak disini dengan lebih mudah untuk mengkaji penerimaan mereka terhadap aplikasi permainan di telefon bimbit. Satu perkara yang dapat dilihat ialah kanak-kanak ini pada mulanya sedikit malu untuk beramah mesra dengan kumpulan pensyarah ini namun bertukar teruja apabila berpeluang menggunakan telefon bimbit untuk bermain aplikasi permainan pembelajaran tersebut. Seramai tujuh orang kanak kanak yang dapat kami temui di kampung ini.
Merentas Hutan Dan Sungai
Kerana kekurangan responden pada hari pertama, kumpulan pensyarah ini telah dimaklumkan oleh Purut, seorang wakil orang asli Batek di Kampung Tersek supaya pensyarah ini mengunjungi kampung yang berdekatan untuk mencari lebih ramai kanak-kanak. Namun begitu, mereka harus merentasi hutan untuk sampai kesana. Kumpulan pensyarah ini sempat melalui jalan kecil di dalam hutan untuk kesana. Perjalanan terpaksa dihentikan kerana pensyarah ini tidak dapat merentasi laluan titi yang sangat kecil dan curam. Namun, kumpulan pensyarah ini bernasib baik kerana sempat bertemu dengan sekumpulan kanak-kanak yang yang baru pulang dari kampung bersebelahan. Mereka juga dapat mengkaji dan menambah ahli responden dengan kehadiran 3 orang kanak-kanak cilik ini.
Pada hari kedua, pensyarah ini menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan Kuala Sat. Disini, mereka dapat mengkaji sejumlah pelajar orang asli Batek disekolah ini. Pada sebelah petang, pensyarah ini menaiki bot dan merentasi Sungai Pahang untuk ke Kampung Bengoi untuk bertemu dengan lebih ramai kanak-kanak. Ternyata disini, mereka disambut meriah oleh lebih ramai kanak-kanak yang teruja dan memberikan kerjasama yang sangat baik sebagai responden untuk kajian yang sedang dijalankan.
Dapatan Kajian
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, terdapat beberapa dapatan utama yang boleh dilihat. Kebanyakan murid dari kalangan orang asli Batek ini sangat teruja apabila berpeluang untuk menggunakan telefon bimbit untuk bermain aplikasi permainan berasaskan pendidikan ini. Berdasarkan temubual bersama murid-murid ini, kami mendapati kebanyakan daripada mereka sudah mempunyai akses kepada telefon bimbit yang merupakan kepunyaan ahli keluarga masing-masing. Namun, ini juga kali pertama mereka terdedah kepada permainan berasaskan Bahasa Inggeris. Walaubagaimanpun, kesemua mereka dilihat sangat gembira dan dapat mengikut arahan di dalam permainan tersebut dengan begitu baik sekali. Sesetangah daripada pelajar ini turut mengatakan mereka berasa seronok dapat bermain permainan ini.
Oleh itu, kajian ini diharapkan dapat membantu menambah baik metodologi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris yang lebih berkesan kepada pelajar orang asli. Kajian ini juga dapat membuktikan pelajaran Bahasa Inggeris tidak semestinya hanya boleh berlaku di dalam kelas tetapi boleh diteruskan oleh pelajar dirumah.