Ekspedisi Kayuhan Merdeka UiTM Shah Alam bermula

Pasukan Ekspedisi Kayuhan Merdeka UiTM Shah Alam

PASIR PUTEH 24 Ogos – Seramai 19 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Shah Alam memulakan Ekspedisi Kayuhan Kemerdekaan Timur – Utara sejauh 400 kilometer anjuran Kelab Rekreasi UiTM Shah Alam bermula di Masjid Wakaf Raja, dekat sini.

Pengarah program itu, Ahmad Falahi Ahmad Suhaimi berkata, usaha membangkitkan semangat patriotisme dan memupuk gaya hidup sihat menerusi aktiviti sukan adalah objektif utama program.

Menurutnya, ekspedisi itu mendapat tajaan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan dan syarikat korporat.

“Kayuhan selama lima hari ini melibatkan laluan Pasir Puteh-Jeli, Gerik – Pengkalan Hulu, Perak dan berakhir di Perlis untuk sama-sama menyambut kemerdekaan Malaysia di negeri berkenaan.

“Terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mengiringi peserta kayuhan dan pengurusan masjid yang menyediakan kemudahan penginapan,” katanya ketika ditemui di Masjid Wakaf Raja.

Pelepasan peserta kayuhan disempurnakan oleh Imam Tua Masjid Mukim Wakaf Raja, Shahifuddin Abdullah.

Ahmad Falahi berkata, peserta ekspedisi kayuhan juga akan mengadakan program kemasyarakatan dan gotong-royong membersihkan Kampung Kuak Luar, Perak.

Sementara itu Shahifuddin ketika ditemui berkata pihaknya telah menyediakan penginapan inap desa percuma di perkarangan masjid bagi menjayakan program berkenaan.

Menurutnya, sokongan moral perlu diberikan kepada golongan muda agar semangat mencintai negara dan nilai kemerdekaan terus kekal selain menarik minat supaya sentiasa mendekati masjid. – UTUSAN ONLINE

Oleh: Torek Sulong
Sumber: https://www.utusan.com.my/mega/ekspedisi-kayuhan-merdeka-uitm-shah-alam-bermula-hari-ini-1.959351

0
0