EksKeP KPK 2024 Inisiatif Memupuk Komuniti Pelajar Dinamik, Berinspirasi dan Kreatif

Shah Alam, 27 Oktober 2024 – Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) melalui Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Sekretariat Mahasiswa Kolej Pengajian Kejuruteraan (SMKPK) telah menganjurkan Ekspo Kelab dan Persatuan Pelajar (EksKeP) KPK 2024, satu acara tahunan yang diadakan di Foyer Perpustakaan Kejuruteraan, Sains, dan Teknologi UiTM. Program yang mendapat kerjasama dan tajaan daripada Kidz Studios Venture ini bertujuan memperkenalkan pelbagai kelab dan persatuan di bawah HEP KPK serta menarik minat pelajar terutama pelajar baru Sesi Okt 2024 untuk terlibat aktif dalam aktiviti kokurikulum dan pembangunan sahsiah.

Dianjurkan dengan bimbingan penasihat, PM Ir. Ts. Dr. Norbaya Sidek yang juga merupakan Ketua Kepimpinan dan Pembangunan Pelajar, bersama Dr. Miradatul Najwa Muhd Rodhi, Koordinator Persatuan Pelajar, EksKeP berjaya mencipta platform bagi pelajar baharu dan lama untuk mengenali serta memilih kelab yang bersesuaian dengan minat mereka.

Ekspo selama dua hari ini mendapat sambutan meriah daripada para pelajar dan tenaga pengajar KPK. Terdapat lebih daripada 21 kelab dan persatuan yang mengambil bahagian, ekspo ini menampilkan pelbagai pameran yang memperkenalkan misi, visi, dan aktiviti utama setiap kelab dan persatuan kepada pelajar. Antaranya adalah Persatuan Siswa Siswi Kejuruteraan Mekanikal (PSSKM), Kelab Inovasi Robotik (i-ROC), Persatuan Kejuruteraan Awam (PERKA), serta Instution of Chemical Engineering Student Chapter (IChemE SC).

Selain pameran, setiap kelab dan persatuan turut membuka reruai jualan untuk mengumpul dana bagi menampung aktiviti kelab masing-masing. Produk jualan yang ditawarkan termasuk hasil kraf tangan, makanan dan minuman, serta cenderamata yang dihasilkan sendiri oleh ahli kelab. Jualan ini bukan sahaja bertujuan untuk mempromosikan kelab dan persatuan tetapi juga mengasah kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar KPK. Selain daripada 4 (empat)  Kelab dan Persatuan yang telah dinyatakan,   turut serta adalah Sekretariat Mahasiswa Kolej Pengajian Kejuruteraan (SMKPK), Civil Outdoor Club (COC), Concrete Society Of Malaysia (CSM) Student Chapter, Petroleum Engineers (SPE, UiTM Student Chapter), School of Chemical Engineering Student Society (SChESS), Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Elektrik (PMKE), Persatuan Institute of Electrical And Electronics Engineering (IEEE), Persatuan Pembangunan Fitrah Insan Keusahawanan Kerjaya Engineer (FIKIR), Persatuan Electrical Engineering (ELETA), IMECHE UiTM Student Chapter, UiTM Eco Planet, UiTM Eco Photon, Iltizam Sport And Recreation (ISARC), Mechepreneur, Boiler & Safety Engineering Club (BOSEC) and UiTM Motorsport)   (yg ni Akak cdgkan masukkan nama semua Kelab & Persatuan selain dari yg telah dinyatakan di atas, bukan apa, utk visiblity mereka juga)

Salah satu acara utama yang menarik perhatian ramai adalah pertandingan reruai terbaik, yang menilai kreativiti, impak visual, dan keberkesanan setiap reruai dalam menarik minat pelajar. Keputusan pertandingan menyaksikan Institution of Engineers Malaysia Student Chapter (IEM SC) meraih tempat pertama, diikuti Kelab Iltizam, Sukan dan Rekreasi (ISARC) di tempat kedua, dan IC Didik di tempat ketiga. Kemenangan ini menunjukkan komitmen tinggi pelajar dalam menjadikan ekspo ini sebagai platform yang bermakna dan bermanfaat.

EksKeP telah memberi peluang kepada pelajar untuk memahami peranan kelab dan persatuan dalam memperkasa kehidupan kampus. Ekspo ini adalah wadah terbaik bagi pelajar menilai kelab dan persatuan yang sesuai dengan minat serta aspirasi mereka sendiri.

Program ini juga membantu pelajar mengembangkan soft skills seperti kepimpinan, kerja berpasukan, dan keusahawanan, yang kelak akan memberi kelebihan dalam dunia pekerjaan. Terima kasih kepada pihak pengurusan KPK atas sokongan yang diberikan dan setinggi penghargaan kepada  Kidz Studios Venture atas  tajaan  bagi menjayakan penganjuran program ini.