EDU WEEK 5.0 Fakulti Sains Kesihatan

Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam, Selangor, 5 hingga 8 Oktober 2020: Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menamatkan satu program ‘EDU WEEK 5.0’.

Program EDU WEEK 5.0 merupakan program yang julung kali diadakan oleh UiTM dan Fakulti Sains Kesihatan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk menerangkan tentang Fakulti Sains Kesihatan dan kaedah pembelajaran secara atas talian kepada mahasiswa-mahasiwa semester 1 sesi Oktober 2020/2021. Selain itu, tujuan utama pihak fakulti mengutamakan program ini sebagai program wajib dalam norma baharu adalah kerana untuk menyediakan kekuatan mental para mahasiswa dan membantu mengetahui cara-cara untuk mengendalikan segala tugasan dan menghadiri kelas secara atas talian. Hal ini kerana, Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu memastikan semua mahasiswa terutamanya mahasiswa baharu membiasakan diri dengan cara pengajaran dan pembelajaran dalam norma baharu. Medium yang telah digunakan ialah melalui Youtube Channel LENSA FSK iaitu kelab fotografi Fakulti Sains Kesihatan. Seramai 543 orang mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan yang terdiri daripada 8 Jabatan Pengajian telah menyertai program ini. Program ini telah dipimpin oleh Encik Mohd Fauzli bin Mohd Yusof iaitu penasihat bagi program tersebut.


Dalam pengisian program EDU WEEK 5.0 ini, pelajar-pelajar telah diberikan pautan youtube daripada kelab LENSA FSK untuk mereka menonton slot-slot yang telah dimaklumkan seperti di dalam tentatif. Program EDU WEEK 5.0 dimulakan dengan video pra-rakaman daripada Dekan Fakulti Sains Kesihatan iaitu Prof. Dr Zulkhairi Hj. Amom, dimana beliau telah menerangkan serba sedikit tentang Fakulti Sains Kesihatan.

Kemudian, ia diteruskan lagi dengan slot video tutorial penggunaan UiTM ‘Student Portal’. Pada hari kedua, program dimulakan dengan slot daripada Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Dr. Siti Nazrina Camalxaman tentang taklimat akademik dalam norma baharu. Selain itu, terdapat juga slot video tutorial penggunaan ‘I-Learn’ dan ‘U-Future’ kepada pelajar baharu. Seterusnya pada hari ketiga, slot Penasihat Persatuan dan Presiden dalam Fakulti Sains Kesihatan telah diperkenalkan kepada para pelajar baharu dan diteruskan dengan sesi soal jawab bersama Majlis Tertinggi setiap persatuan dalaman melalui medium Google Meet.


Pengisian program ini diteruskan lagi dengan slot yang terakhir daripada Ketua Pusat Pengajian masing-masing bagi menerangkan kepada pelajar cara pengajaran dan pembelajaran secara lebih terperinci mengikut pelan pengajian mereka. Slot ini membantu para pelajar baharu dalam mendaftar subjek dan menjawab setiap persoalan berkenaan dengan akademik.


Melalui program EDU WEEK 5.0 ini juga, para mahasiswa telah mendapat banyak maklumat baru dan berguna untuk dipraktikkan di dalam pembelajaran atas talian. Ianya akan membantu para pelajar menyusun jadual dan kaedah pembelajaran yang sesuai dengan personaliti masing-masing. Dengan adanya, program seperti ini, terbukti bahawa fakulti kita memerlukan lebih kerap program seperti ini untuk menaikkan tahap akademik para pelajar.