EcoRun for Inclusion 2024: Pupuk Kelestarian dan Penerimaan Terhadap Autisme

Shah Alam, 7 Disember 2024EcoRun for Inclusion 2024 berjaya menjadi platform penting bagi memupuk kesedaran masyarakat dalam usaha kelestarian alam sekitar dan penerimaan terhadap individu autisme. Program usaha sama antara National Autism Resource Centre (NARC), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), The National Autism Society of Malaysia (NASOM) dan Dow Malaysia telah berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Program ini telah dirasmikan oleh YB Puan Jamaliah Jamaluddin, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, yang menyatakan bahawa ia merupakan bukti bagaimana kerjasama antara masyarakat, institusi pendidikan, dan industri mampu menjana impak positif yang besar. Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang autisme tetapi juga mendidik masyarakat tentang kelestarian melalui pengumpulan dan kitar semula kasut terpakai. Turut hadir memeriahkan program, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah serta pengurusan kanan KPPIM. Program ini telah menarik lebih 500 penyertaan melibatkan para pelajar dan kakitangan UiTM, pihak industri, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat awam khususnya individu autisme. Di samping itu, sukarelawan di kalangan pelajar UiTM, NASOM dan Astro turut membantu dalam menjayakan pengendalian acara ini.

NARC sebagai sebuah pusat pengumpulan maklumat berkaitan autisme merasa bangga menjadi penganjur EcoRun 2024. Dalam usaha meningkat kesedaran dan penerimaan autisme, NARC menyediakan poster sepanjang laluan larian dan membuka reruai pameran. NARC komited untuk terus mendidik masyarakat supaya individu autistik boleh diterima dengan lebih baik. Melalui pendidikan, kesedaran, dan sokongan yang menyeluruh, sebuah masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif bagi mereka yang didiagnosis dengan gangguan spektrum autisme dapat dibina.

Bagi mencapai objektif kelestarian pula, program ini berjaya mengumpul lebih daripada 600 pasang kasut terpakai untuk digunakan dalam pembinaan tapak taman permainan baharu di Pusat Autisme NASOM Teluk Pulai, Klang. Taman permainan tersebut akan dilengkapi dengan permukaan yang diperbuat daripada butiran getah dan gentian hasil daripada kasut yang dikitar semula. Sebahagian daripada yuran penyertaan acara larian ini juga disalurkan bagi merealisasikan pembinaan taman permainan tersebut.

Kesimpulannya, Eco Run for Inclusion 2024 telah berjaya mencapai matlamatnya di samping secara tidak langsung memupuk semangat kesukanan, muhibah dan harmoni di kalangan para peserta yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang, usia, bangsa dan juga agama. Semoga usaha kecil seumpama ini memberi perubahan dan kesan yang mendalam kepada masyarakat dan persekitaran.

Penulis: Yuzi Mahmud, Nor Azylia Ahmad Azam, Zuraidah Derasit, Sanizah Ahmad, Rosanita Adnan