Shah Alam – “ Social Distancing” merupakan salah satu langkah pencegahan dan pengendalian infeksi virus Corona dengan menganjurkan individu yang sihat untuk menghadkan pergerakan ke tempat perkumpulan orang ramai dan kontak secara langsung dengan orang lain. Ketika menerapkan social distancing, seseorang tidak diperkenankan untuk berjabat tangan serta menjaga jarak sekurang kurangnya 1 meter ketika berinteraksi dengan orang lain, terutama dengan orang yang sedang sakit atau berisiko tinggi menghidapi COVID-19.
Berikutan penularan wabak virus COVID-19, pekeliling Naib Canselor UiTM bil 5 2020 telah dikeluarkan berkaitan penangguhan seluruh operasi perkhidmatan Universiti Teknologi MARA mengenai pelaksanaan penyampaian dan pembelajaran pelajar. Maka, perkara ini menyaksikan proses pengosongan kawasan kediaman kolej oleh pelajar-pelajar UiTM sebagai satu usaha untuk mengekang penularan wabak tersebut. Namun begitu, masih terdapat segelintir pelajar yang tidak dapat pulang ke rumah kediaman masing-masing atas faktor kekangan jarak rumah yang jauh seperti pelajar yang menetap di negeri Sabah dan Sarawak.
Menyedari akan hakikat ini, pihak Kolej Perindu telah menganjurkan pelbagai aktiviti menarik khusus buat pelajar-pelajar yang menetap di kolej tersebut bagi mengisi waktu lapang mereka sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP ini dijalankan. Antara aktiviti yang berjaya menarik perhatian dan mendapat penyertaan yang tinggi dalam kalangan pelajar adalah pertandingan E Sport Social Distancing Kolej Perindu. Pertandingan yang telah dianjurkan pada 29 hingga 30 Mac yang lalu, telah disertai oleh seramai 35 orang pelajar dan bilangan penyertaan yang tinggi membuktikan bahawa E Sport telah mendapat tempat dalam kalangan belia di samping aktiviti yang dijalankan ini mampu dijadikan inisiatif ke arah memacu pertumbuhan dan pengembangan E Sport di UiTM. Sebanyak 7 pasukan telah bertanding secara sistem liga. Permainan yang dipertandingkan pula adalah aplikasi permainan Mobile Legend dan Player Unknown Battle Ground atau PUBG.
Sepanjang pertandingan berlangsung, aspek social distancing amat dititikberatkan. Buktinya, acara pertandingan berlangsung tanpa lokasi yang khusus dan pelajar diberi kebebasan untuk bertanding secara atas talian di dalam bilik mereka mahupun di ruang santai Kolej Perindu. Perkara ini merupakan satu aspek menarik yang telah ditonjolkan dalam pertandingan itu kerana di samping pelajar berentap dalam pertandingan E Sport tersebut, mereka juga secara tidak langsung, mempraktikkan amalan social distancing yang telah disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan wabak virus Covid-19.
Keputusannya, kategori individu bagi pertandingan ini telah dimenangi oleh saudara Muhammad Syazwan bin Hairilannuar manakala kategori berkumpulan pula dimenangi oleh Kumpulan Single. Tahniah diucapkan kepada para pemenang.
Akhir kata, syabas diucapkan kepada pihak Kolej Perindu kerana berjaya untuk tampil dengan idea -idea segar bagi aktiviti yang bakal dijalankan sepanjang Tempoh Kawalan Pergerakan ini khusus buat warga kediaman Kolej Perindu. Tiada halangan untuk kita kekal produktif sewaktu PKP ini berjalan dan dalam kita beraktiviti, kita perlulah peka dan menjaga social distancing agar kita terhindar daripada jangkitan covid-19.