e-Journal of Media and Society (e-JOMS) Terus Melangkah Cemerlang Dinaiktaraf Ke Indeks MyCite

SHAH ALAM, 14 Januari 2025 – Jurnal e-Journal of Media and Society (e-JOMS) di bawah penerbitan oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka muncul sebagai salah satu jurnal yang dinaiktarafkan pengindeksan ke indeks MyCite pada 31 Disember 2024.

Memetik kenyataan oleh Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Hj. Ridzuan selaku Ketua Penyunting bagi Jurnal ini yang juga merupakan Ketua Pusat Pengajian (KPP) FKPM, beliau merujuk bahawa usaha untuk menaikkan visibiliti Jurnal ini dari tahun ke tahun bukanlah suatu perkara yang mudah kerana memerlukan tekad yang konsisten bagi menarik minat para penyelidik untuk menerbitkan artikel mereka di Jurnal ini. Kualiti penerbitan artikel di Jurnal ini sentiasa dititikberatkan menerusi semakan yang teliti dalam kalangan ahli Sidang Editorial sebelum penerbitan. Beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan awal yang membantu semasa permulaan Jurnal ini sehingga ke hari ini. Beliau turut berterima kasih kepada seluruh keluarga besar e-JOMS terkini yang konsisten dalam membantu berusaha menaikkan Jurnal ini sehingga mencapai tahap ini pada hari ini.

Kecemerlangan yang dicapai kini diharapkan akan menjadi satu motivasi dan batu loncatan ke arah lebih banyak pencapaian berimpak tinggi pada masa hadapan bagi Jurnal ini dalam meningkatkan lagi tarafnya ke arah Indeks Scopus dan Web of Science. Jurnal ini juga diharapkan akan berterusan menjadi satu platform bermanfaat kepada para penyelidik dari seluruh dunia sebagai sebuah rujukan pangkalan data ilmu yang berkualiti.

Penulis: Dr. Mohamad Hafifi Jamri, Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Hj. Ridzuan, Dr. Mohd Sufiean Hassan, Ts. Mohd Hilmi Bakar, Rosilawati Sultan Mohideen