‘E Games: Inner Child’ Anjuran Sekretariat Mahasiswa Fakulti

Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, (SMF) telah menganjurkan sebuah program yang berunsurkan rekreasi dalaman yang dinamakan sebagai E – Games: Inner Child yang berlangsung di setiap kediaman para pelajar berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan kita untuk bersua secara bersemuka. Program ini bertemakan nostalgia, di mana permainan yang dipertandingkan merupakan permainan yang amat terkenal dalam kalangan para remaja generasi Y. Matlamat program ini adalah untuk membantu pelajar untuk mengurangkan tekanan yang disebabkan oleh perubahan sistem pembelajaran bersemuka kepada pembelajaran atas talian.

Program ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar walaupun berjauhan. Seterusnya, program ini membolehkan pelajar berekreasi tanpa terdedah kepada persekitaran luar yang saban hari semakin merisaukan. Selain itu, pelajar juga didedahkan dengan rekreasi dalaman (E – sport) iaitu sukan yang kini sedang menembusi peringkat antarabangsa dan amat sesuai untuk keadaan negara masa kini iaitu di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara permainan yang dipertandingkan adalah Subway Surfs, Piano Tiles, Catur, Plato dan Counter Strike: Global Offensive. Pada minggu yang pertama iaitu 9 hingga 15 November 2020, permainan yang dipertandingkan adalah Subway Surfs dan Piano Tiles dan penyertaan penuh telah direkodkan iaitu 50 orang mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan setiap permainan. Seterusnya, pada minggu kedua iaitu 16 hingga 20 November 2020, Plato dan Catur pula telah dipertandingkan, dan penyertaan bagi permainan Plato adalah seramai 30 orang pelajar manakala permainan catur telah disertai oleh 21 orang pelajar.  Pada hari kemuncak program iaitu pada 21 November 2020, Counter Strike: Global Offensive telah diadakan dan disertai oleh 4 orang pelajar Fakulti Sains Kesihatan. Secara keseluruhannya seramai 155 orang telah menyertai program ini.

Setiap permainan menerima sambutan yang agak memberangsangkan dan menepati objektif program iaitu untuk mewujudkan sifat daya saing dalam kalangan pelajar Fakulti Sains Kesihatan. Bagi permainan Subway Surfs dan Piano Tiles, juara telah dipilih berdasarkan markah tertinggi peserta yang diperiksa oleh ahli jawatankuasa yang bertugas melalui maklumat yang telah dihantar di pautan Google Form penyertaan. Akhir sekali, permainan Counter Strike: Global Offensive dimenangi oleh Aqmar Farid Bin Mohd Fauzi dari Physiotherapy Student Associated (PHYTAS). Pemenang dipilih setelah mengalahkan pihak lawan dalam perlawanan akhir dengan memenangi jumlah pusingan terbanyak daripada 15 pusingan. Secara keseluruhannya, permainan ini telah mencapai objektif program dan saya berharap program E Games ini dapat diteruskan pada tahun yang akan datang.