Puncak Alam, 2 Julai 2024 – Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli berangkat ke UiTM Cawangan Selangor (UCS) untuk bersama pasukan kayuhan UiTM bagi membuat kayuhan basikal dari UCS ke UiTM Shah Alam. Program Kayuhan Kapsul Merentas Kampus Cawangan Peringkat UiTM Cawangan Selangor dianjurkan bersempena sambutan 25 tahun UiTM sebagai sebuah universiti.
Turut sama berkayuh adalah YBhg. Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib, Naib Canselor UiTM, dan pelepasan kayuhan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Omar Shariff Mydeen, Ahli Lembaga Pengarah UiTM bersama YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UCS serta pengurusan tertinggi UCS. Pelepasan kayuhan telah dimeriahkan dengan kehadiran seramai lebih 400 orang staf dan pelajar UCS. Majlis turut menyaksikan penyerahan hasrat UiTM Cawangan Selangor, pelepasan larian UCS Fun Run, dan simbolik penanaman anak pokok sumbangan Pulau Banding Foundation.
Ketibaan Pasukan Kayuhan Kapsul UiTM di UiTM Cawangan Selangor juga telah disambut meriah pada 1 Julai 2024. Tahniah kepada 12 orang pasukan kayuhan utama UiTM yang telah berkayuh dari UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar ke UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam. Pasukan kayuhan telah merekodkan kayuhan sejauh 1893.49km sejak kayuhan dimulakan pada 20 Jun 2024 di UiTM Shah Alam, ke kampus-kampus cawangan seluruh Malaysia. UiTM Cawangan Selangor merupakan kampus cawangan yang terakhir disinggah bagi semenanjung Malaysia sebelum pasukan kayuhan kembali ke UiTM Shah Alam, dan meneruskan kayuhan di Sabah dan Sarawak.