Dua Pelajar Pra Sains UiTM Cawangan Sabah Raih Keputusan Cemerlang

TAWAU, 15 MAC 2022 – Nur Elysha Alia Ali dan Mohd Muizzuddin Arif Moni telah berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan CGPA 4.00 dalam Penilaian Akademik Semester Oktober 2021 – Februari 2022. Kedua-duanya adalah pelajar Pra Diploma (Sains) UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau di bawah Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM. Keputusan rasmi telah diumumkan melalui UiTM Student Portal pada 15 Mac 2022, jam 9 pagi.

Nur Elysha Alia Ali atau lebih mesra dipanggil El, yang dihubungi melalui telefon berkata, keputusan yang diraihnya itu bukanlah seperti yang orang lain lihat. “El gunakan Google atau Youtube untuk mencari topik yang dipelajari terutama bagi kursus Fizik. El tidak ambil Fizik semasa SPM. Tugasan yang diberikan oleh pensyarah Fizik sangat mencabar bagi El yang tiada asas Fizik. Jadi El perlu berusaha dan belajar lebih berbanding rakan-rakan yang lain,” jelasnya.

Dalam nada yang sama, seorang lagi pelajar, Mohd Muizzuddin Arif Moni berkata, sejujurnya saya bukan pelajar genius. Bagi yang mengenali saya secara peribadi, saya ini sama seperti pelajar yang lain juga. “Begitu pun, dengan azam yang kuat, saya percaya saya boleh buat melalui pendekatan yang betul dan berkesan,” tambahnya.

Mohd Muizzuddin Arif Moni yang bercita-cita untuk menjadi Game Programmer turut berkongsi tip untuk mendapat skor yang cemerlang.

“Matematik, Fizik dan Kimia adalah kursus yang mempunyai banyak pengiraan. Jadi, perlulah buat dan selesaikan soalan sebanyak mungkin sama ada soalan diberikan oleh pensyarah mahupun soalan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya sehingga tiada satu soalan pun yang tidak dijawab,” katanya.

Sesungguhnya, kejayaan yang dicapai kedua-dua pelajar ini akan dapat memberi inspirasi kepada semua pelajar UiTM untuk terus cemerlang. Jangan mudah mengalah dan gapai impianmu!

Sebagai rekod, PPT UiTM kini menawarkan lima program iaitu Pra Diploma (Sains), Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera), Pra Diploma Agroteknologi dan Pra Diploma Pengajian Islam.