Dialog dan diskusi Fakulti Pendidikan UiTM & Sekolah Laboratorium Percontohan UPI buka peluang kolaborasi antara Institusi Pendidikan 2 negara

Dialog dan diskusi Fakulti Pendidikan UiTM & Sekolah Laboratorium Percontohan UPI buka peluang kolaborasi antara Institusi Pendidikan 2 negara
Sesi foto peserta dialog

27 November 2019 – 15 pelajar Sarjana Pendidikan Seni Visual dan bersama 5 orang staf Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor berpeluang mengadakan kunjungan dan lawatan ke Sekolah Laboratorium Percontohan, Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Bandung, Indonesia. Kompleks sekolah yang terletak di dalam kampus UPI ini dikendali dan dibiaya sepenuhnya oleh UPI.

Pengisian utama kunjungan ini ialah sesi dialog dan diskusi bersama Badan Penyelenggara Sekolah (BPS) sekolah berkenaan di samping melihat sendiri suasana sekolah berkonsepkan ‘Sekolah dalam Kampus’. Pelajar-pelajar Sarjana Pendidikan Seni Visual UiTM turut berpeluang beramah-mesra dengan pelajar dan melaksanakan sesi pencerapan.

Dialog dan diskusi Fakulti Pendidikan UiTM & Sekolah Laboratorium Percontohan UPI buka peluang kolaborasi antara Institusi Pendidikan 2 negara
Delegasi Fakulti Pendidikan UiTM bersama BPS Sekolah Laboratorium UPI

Sesi dialog dan diskusi memfokuskan kepada aspek pengurusan serta pencapaian sekolah laboratorium. Sekolah laboratorium atau lab schools ini terdiri daripada sekolah rendah dan sekolah menengah. Beroperasi sebagai sekolah swasta, Lab Schools UPI merupakan antara 10 sekolah terbaik di Jawa Barat. Separuh daripada pelajar sekolah ini merupakan anak-anak kepada pensyarah UPI manakala sebahagian lagi terbuka kepada pelajar luar.

Delegasi Fakulti Pendidikan telah disambut dengan penuh meriah oleh wakil-wakil BPS diketuai oleh Dr. Prayoga Bestari selaku Kepala BPS. Delegasi pensyarah dan pelajar sarjana disajikan persembahan tarian serta tanglung oleh para pelajar sekolah. Delegasi turut dihiburkan dengan beberapa buah lagu oleh kumpulan kugiran (band) yang terdiri daripada para pelajar, ditubuhkan bagi melengkapi aktiviti ko-kurikulum sekolah.

Dialog dan diskusi Fakulti Pendidikan UiTM & Sekolah Laboratorium Percontohan UPI buka peluang kolaborasi antara Institusi Pendidikan 2 negara
Sambutan hangat oleh Badan Penyelenggara Sekolah (BPS)

Sesi dialog dikendalikan oleh Dr. Prayoga Bestari bersama dengan Dr. Badrul Isa, pensyarah Fakulti Pendidikan UiTM, selaku ketua delegasi. Perbincangan menjurus kepada potensi kolaborasi di antara Fakulti Pendidikan dan Lab School UPI, antara lain, penyelidikan bersama, pertukaran staff dan pelajar serta pelaksanaan sesi praktikum pelajar Fakulti Pendidikan di sekolah ini.

1
0