Program Sains Ukur dan Geomatik (PSUG), UiTM Cawangan Perak telah mengadakan satu sesi libatsama bertajuk “Demonstration of Drone Technology for Building Inspection” bersama pensyarah Program Ukur Bangunan, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.
Program ini merupakan sesi perkongsian ilmu berkaitan dengan pendedahan dan kemahiran terhadap penggunaan teknologi dron yang diadakan pada 16 November 2023 (Khamis) bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang secara bersemuka dan demonstrasi di lapangan. Para peserta program ini adalah 24 orang pensyarah yang berminat untuk menambah pengetahuan mereka di dalam aplikasi dron.
Program ini juga berfungsi sebagai satu inisiatif bagi menyebarkan pengetahuan mengenai teknologi geospatial kepada pensyarah dalaman di UiTM Cawangan Perak, khususnya pensyarah dalam bidang Ukur Bangunan. Ini bertujuan agar pengetahuan tersebut dapat diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Selain itu, penganjuran kursus ini juga berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan kebolehan dan pendedahan para pensyarah UiTM Cawangan Perak terhadap teknologi terkini.
Program ini dimulakan dengan sesi pengenalan kepada teknologi dron (Penceramah; Ts Sr Dr Suzanah Abdullah). Sesi kedua diteruskan dengan tajuk undang-undang dan peraturan dron di Malaysia dan pengendalian dron menggunakan simulator (Penceramah: Gs Dr Munirah Radin Mohd Mokhtar). Seterusnya, sesi diteruskan dengan pengendalian & pengumpulan data dron di lapangan (Penceramah: Sr Gs Noorsazwan Ahmad Pugi & Sr Gs Mohd Najib Husain).
PSUG mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak pengurusan UiTM Cawangan Perak kerana telah memberi sokongan dan meluluskan permohonan mengadakan program ini. Melalui sesi libatsama ini, para pensyarah yang terlibat telah dapat mempelajari dengan lebih mendalam dan menguasai ilmu tentang aplikasi dron melalui kepakaran yang ada pada penceramah. PSUG juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Koordinator Diploma Ukur Bangunan (CFAP119) & Koordinator Sarjana Muda Ukur Bangunan (CFAP229) atas kesudian dan kerjasama berkolaborasi dengan pihak PSUG. Terima kasih juga kepada semua pensyarah PSUG yang bergabung tenaga bagi menjayakan program ini. PSUG akan meneruskan lagi program kolaborasi seperti ini bersama program-program lain untuk masa akan datang,
Laporan oleh Sr Gs Ts Dr Izrahayu Che Hashim (Koordinator Program Diploma Teknologi Geospatial (CFAP123)) & Sr Dr Hasnan Hashim (Koordinator Diploma Ukur Bangunan (CFAP119)).