9 September 2024 – Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri telah melaksanakan Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) 2030. Majlis ini diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia, Cyberjaya. Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Haji Fadillah Yusof; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Program PIKAS 2030 ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara pihak awam dan swasta dalam memastikan pembangunan negara, terutamanya dalam usaha memperkembangkan ekonomi negara. Program ini dirangka untuk menambah baik dasar, strategi, tatakelola, proses, Public-Private Partnership (PPP) dan pembiayaan PPP. Kerjasama antara dua sektor ini menjangkakan pelaburan RM78 billion dari sektor swasta, menyumbang RM 82 billion kepada GDP negara dan menjana 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Antara kejayaan projek ini yang rakyat sedia nikmati ialah perkhidmatan pengangkutan seperti projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Light Rail Transit (LRT), perkhidmatan elektrik melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan perkhidmatan komunikasi seperti Telekom Malaysia Berhad yang semakin berkembang hari demi hari.
Dalam ucapan beliau, YAB Perdana Menteri telah menekankan kepentingan menjalankan program ini secara telus dan sistematik, selaras dengan objektif kerajaan MADANI yang berpandukan pendekatan pentadbiran yang jujur dan amanah. Beliau juga memastikan setiap proses bidaan yang akan diadakan untuk projek-projek PPP dijalankan melalui kaedah Requests for Proposals (RFP). Beliau juga berkata bahawa model-model PPP baru seperti Redevelop/Regenerate-Operate-Transfer (ROT) dan Build-Redevelop/Regenerate-Operate-Transfer (BROT) akan turut diperkenalkan melalui projek ini demi memastikan pelaksanaan projek yang efisien dan berkesan.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut menyambut baik usaha kerajaan MADANI dengan menghantar wakil untuk menghadiri majlis ini. Seramai 4 orang pensyarah, seorang staf serta 10 orang mahasiswa UiTM di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah berpeluang untuk menyaksikan majlis peluncuran ini serta menziarahi booth-booth pameran yang disediakan di ruang pameran. Kesemua warga UiTM telah dapat menimba banyak ilmu baru dan mendapat pendedahan mengenai kolaborasi antara sektor kerajaan dan swasta yang telah membuahkan hasil yang bermanfaat buat semua pihak.
UiTM boleh menyumbang kepada inisiatif PIKAS 2030 ini dengan bekerjasama dengan sektor swasta dalam meneroka bidang-bidang yang digariskan oleh PIKAS 2030. Selain itu, UiTM juga boleh memberi khidmat nasihat pakar kepada pihak-pihak yang memerlukannya untuk melaksanakan projek-projek yang selaras dengan objektif PIKAS 2030. Kerjasama UiTM yang mempunyai tenaga kerja yang berbakat bersama pihak swasta yang mampu menyumbang dana dalam bidang Research and Development (R&D) serta bidang-bidang lain mampu melahirkan ciptaan-ciptaan yang bertaraf antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara yang menguntungkan semua pihak.
Peluncuran PIKAS 2030 amatlah digalakkan untuk membangunkan negara dengan kaedah yang terbaik dan semua pihak sewajarnya memberikan sokongan yang jitu untuk usaha ini. Pihak UiTM kekal teguh dengan misinya untuk membangunkan negara bangsa yang berjaya dan akan terus berkhidmat dengan cemerlang untuk menjayakan misi ini. Semua langkah-langkah proaktif dalam mencapai kecemerlangan akan terus diambil oleh UiTM demi pembangunan dan kemajuan negara yang tercinta ini.
Halima Saadiah
Pusat Pembangunan Pelajar, HEP UiTM Shah Alam