KLANG, 7 Disember 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dengan kerjasama penduduk Kampung Budiman, telah berjaya menganjurkan program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) bertemakan Literasi Digital. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan mendalam serta memperkasakan ilmu teknologi maklumat kepada masyarakat kampung. Hal ini selaras dengan pengiktirafan Kampung Budiman sebagai ‘Smart Village’ oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada tahun 2024, yang menekankan kepentingan peningkatan literasi digital dalam masyarakat setempat.
Program yang dianjurkan oleh Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Shah Alam ini berlangsung di Balai Raya Kampung Budiman, Meru, Klang. Ia melibatkan penyertaan lebih 80 penduduk kampung pelbagai lapisan umur, serta 65 mahasiswa dari Program Sarjana Muda Sistem Maklumat Kejuruteraan Netsentrik (CS251), Sarjana Muda Sains Komputer Pengkomputeran Perniagaan (CS264) dan Sarjana Muda Sistem Maklumat Kejuruteraan Sistem Maklumat (CS266) yang telah bertindak sebagai fasilitator program. Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Hj Wan Abdul Rahim Wan Mohd Isa, Dekan (Akademik dan Antarabangsa), merangkap menjalankan Fungsi Penolong Naib Canselor KPPIM.
Antara aktiviti utama program ini termasuk bengkel pembinaan laman web komuniti yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan Google Site dan langkah-langkah asas dalam pembangunan laman sesawang. Laman web komuniti Kampung Budiman telah dibangunkan sebagai platform untuk berkongsi maklumat seperti aktiviti kampung, ahli jawatankuasa, serta promosi perniagaan tempatan. Pembinaan laman web ini dilihat sebagai langkah positif untuk membuka peluang ekonomi kepada perniagaan tempatan, sekaligus meningkatkan capaian dan promosi perniagaan mereka.
Program turut diserikan dengan aktiviti Explorace yang disertai kanak-kanak dan para remaja. Ia mempunyai beberapa checkpoint bertujuan menguji pengetahuan peserta mengenai teknologi maklumat seperti susun atur dalam komputer, keselamatan siber serta kuiz berkaitan istilah dan peralatan IT. Selain itu, pertandingan Mobile Legend melibatkan 8 kumpulan peserta turut dianjurkan.
Menurut Encik Nik Muhammad Yasir bin Ghazali, salah seorang peserta bengkel, program SULAM ini memberikan impak yang besar kepada masyarakat kampung. Beliau berkata, “Program ini menambah ilmu pengetahuan masyarakat dalam penggunaan teknologi semasa.” Sementara itu, Ketua Kampung Budiman, Tuan Imran Bin Khairul, turut menegaskan kepentingan program ini dengan menyatakan, “Program SULAM 2024 sangat penting untuk memastikan pengetahuan penduduk kampung setanding dengan kemajuan teknologi yang pesat, yang kebiasaannya kurang diterima oleh masyarakat kampung.”
Program SULAM 2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan untuk memperkasa masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Melalui program ini, pelajar UiTM diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh sambil membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat. Inisiatif ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Keempat dan Kesebelas, merangkumi Pendidikan Berkualiti serta Bandar dan Komuniti Lestari, selain turut menyokong visi Malaysia Madani.
Penulis: Muhammad Luqman Ariffin dan Saidatul Rahah Hamidi
(Editor: Afdallyna Harun & KPPIM News Team)