Seri Iskandar, 02 Jun 2024 – Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak telah menganjurkan lawatan ke Negeri Cik Siti Wan Kembang bersama-sama ahli PEWANI UiTM Cawangan Perak pada 31 Mei 2024 hingga 02 Jun 2024. Program ini merupakan anjuran bersama Pusat Pengajian Siswazah UiTM Cawangan Perak dan PEWANI UiTM Cawangan Perak yang melibatkan seramai 40 peserta. Pelajar pascasiswazah ini terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa dan diiringi oleh mantan Ketua Pusat Pengajian Siswazah [KPPS] iaitu Gs Dr Nor Eeda Haji Ali serta AJK Promosi Pascasiswazah Gs Nurain Mohd Talmizi dan Pn Norita Abd Kadir. Mereka adalah sebahagian dari pelajar UiTM Cawangan Perak yang menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang. Lawatan ini merupakan aktiviti ulung kali diadakan bagi melestarikan Warisan Seni Budaya Rakyat Malaysia.
Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta terutamanya pelajar antarabangsa mengenal sejarah, kebudayaan, adat resam dan kekayaan semulajadi negeri Kelantan serta memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka pusat pelancongan lestari warisan di Kelantan secara penentusahan fizikal. Negeri Cik Siti Wan Kembang atau Negeri Kelantan sebagai pilihan destinasi lawatan ini kerana ianya terkenal sebagai negeri yang berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam sehingga mempunyai gelaran “Serambi Mekah” dan negeri yang mempunyai kekayaan dengan sejarah. Penganjuran lawatan akademik ini, para peserta akan berpeluang mempelajari asal usul kebudayaan, keunikan Negeri Kelantan serta interaksi dengan komuniti tempatan dan pengusaha terutama kalangan wanita yang terlibat dalam sektor perniagaan.
Lawatan ini dimulakan dengan lawatan ke Masjid Razaleigh yang menyerupai model Masjidil Haram di Makkah. Pelajar diterangkan keunikan rekaan dengan dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah. Kemudian lawatan diteruskan ke Gelanggang Seni yang terletak di kawasan yang sangat strategik iaitu di Bandaraya Kota Bharu yang menjadi pusat perkembangan pembangunan kebudayaan di Negeri Kelantan. Gelanggang Seni ini terletak di Jalan Mahmood, Kota Bharu, Kelantan. Para rombongan turut serta dengan pelbagai aktiviti dijalankan di Gelanggang Seni, antaranya adalah permainan gasing uri dan gasing pangkah, permainan rebana ubi, kertok, persembahan silat tari, persembahan wayang kulit, permainan congkak dan sebagainya. Mereka juga di bawa ke Muzium Negeri, Muzium Islam, Muzium Perang, Muzium Kraf, Istana Jahar, Istana Batu, Muzium Wau, Muzium Kuala Krai dan Balai Seni Lukis yang mencerminkan kekayaan dan keunikan budaya Kelantan. Seterusnya peserta tidak melepaskan peluang mengunjungi Pasar Besar Siti Khadijah yang merupakan pasar paling terkenal di Kelantan. Mereka tertarik dengan keunikan kebanyakan peniaga sini adalah dikalangan Wanita Kelantan dan dipenuhi pelbagai jenis makanan antaranya keropok, kraftangan dan batik yang dijadikan buah tangan untuk keluarga masing-masing.
Seterusnya ahli rombongan ke kilang membuat batik di Pantai Cahaya Bulan. Batik diiktiraf sebagai warisan negara yang bernilai tinggi serta salah satu kraftangan yang terkenal di peringkat global. Sini, sedikit taklimat ringkas diberikan berkenaan bahan yang digunakan, cara pembuatan serta menghuraikan rekaan yang dihasilkan bagi pembuatan batik. Semua peserta rombongan termasuk pelajar pascasiswazah tidak melepaskan peluang melakar, mencanting dan mewarna corak batik pilihan mereka menggunakan peralatan yang disediakan oleh pihak Shalbella Co. dan diberi peluang membawa pulang sebagai kenangan setelah siap hasilnya untuk dijadikan memori serta cenderahati.
Ini merupakan salah satu aktiviti menarik terutama kepada pelajar antarabangsa ketika menjadi pelajar Malaysia kerana mereka dapat merasai sendiri pengalaman dan budaya Masyarakat Kelantan khasnya. Pusat Pengajian Siswazah UiTM Cawangan Perak merasa satu kepuasan kerana dapat merealisasikan permohonan pelajar pascasiswazah antarabangsa untuk lawatan ke negeri Pantai Timur walaupun usaha bersama PEWANI UiTM Cawangan Perak. Sedikit sebanyak program ini dapat membantu mempromosikan serta meningkatkan enrolment pelajar pascasiswazah di UiTM Cawangan Perak khasnya. INSYA ALLAH dan TERIMA KASIH.
Penulis : Gs Dr Nor Eeda Hj Ali, Gs Nurain Mohd Talmizi, Norita Abd Kadir