Padang Jawa, 9 Jun 2024 – Pelajar tahun akhir Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan sebuah program “Smart Business” di Padang Jawa, Shah Alam. Program ini merupakan hasil kerjasama antara pelajar dan penduduk Kampung Padang Jawa, mengambil bahagian dalam inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).
Program ini telah melibatkan 15 orang peserta dari kalangan penduduk Kampung Padang Jawa. Sesi dimulakan dengan taklimat kesedaran berkaitan perniagaan pintar bertajuk “Manfaat Perniagaan Pintar untuk Komuniti”, diikuti dengan perbincangan mengenai “Strategi dan Teknik Perniagaan Pintar”.
Program selanjutnya bertumpu kepada aktiviti kelas tahap Permulaan (Asas Pembelajaran Komputer). Kelas Permulaan ini dirancang untuk membantu para peserta tanpa pengalaman pengkomputeran, mempelajari asas penggunaan komputer dan internet. Melalui kelas tersebut, para peserta telah diajar dengan pengenalan komponen asas pengkomputeran. Peserta juga diajar menggunakan aplikasi Google, FireFox, dan Microsoft Edge, serta cara membuka akaun e-mel.
Kemudiannya program disusuli dengan aktiviti kelas tahap pertengahan (Panduan Menjual di Shopee) untuk mengajar cara-cara membuka akaun penjual di Shopee. Para peserta telah di dedahkan dengan langkah-langkah pendaftaran akaun Penjual, penggunaan ciri-ciri aplikasi, dan cara menguruskan produk dan pesanan. Melalui sesi ini, peserta didedahkan kepada teknik memuat naik produk, pengurusan stok, serta kaedah pembungkusan yang betul untuk meningkatkan keberkesanan perniagaan dalam talian.
Program “Smart Business” di bawah bimbingan Dr. Azhar B. Abd Aziz ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Lapan: Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan kemahiran perniagaan usahawan tempatan, dan memupuk pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan. Dengan menyediakan pengetahuan dan latihan mengenai teknologi dan strategi perniagaan, program ini dapat memperkasakan peserta untuk memperkukuh perniagaan mereka, dan meningkatkan pendapatan. Secara tidak langsung, ini dapat memperkasakan individu dan menyumbang kepada kestabilan ekonomi jangka panjang, khususnya di Padang Jawa.