Dare To Fit – Pupuk Minat Untuk Bergiat Aktif!

Bermula dengan pengalaman sendiri yang pernah mengalami kenaikan berat badan yang mendadak serta berjaya menurunkan berat badannya kembali, Hj. Bahman Jamaluddin, pensyarah fisioterapi daripada Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Bertam Cawangan Pulau Pinang kemudiannya mencadangkan agar diadakan Program Dare To Fit yang telah berlangsung sejak 26 Ogos 2019 dan dirancangkan berakhir pada 26 Februari 2020 yang bertujuan untuk meningkatkan stamina para peserta disamping menurunkan berat badan.

Program ini diadakan setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat bermula 8:00 pagi sehingga 9:00 pagi dan telah disertai oleh kira-kira 48 orang staff daripada UiTM Kampus Bertam. Selain daripada aktiviti fizikal seperti ‘morning jog’ serta Tabata yang selalunya dikendalikan samada oleh Hj. Bahman Jamaluddin atau En. Muhammad Iqbal Bin Shaharudin, peserta juga didedahkan dengan sesi Zumba yang dikendalikan oleh Cik Nor Eirma Safiza Ghazali. Malah, ceramah kesihatan juga turut sama diadakan pada setiap hari Jumaat bagi memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai cara yang betul untuk mengadakan aktiviti fizikal serta diet untuk menurunkan berat badan.

Dare To Fit telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan serta telah dirasmikan oleh Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Prof. Madya Ts Dr. Mohd Hisbany Mohd Hashim pada 6 September 2019 bersama-sama seluruh warga kakitangan UiTM Kampus Bertam. Malah, rektor juga turut memuji program ini serta menggalakkan agar semua staf mengambil peluang ini untuk bergiat aktif dalam aktiviti fizikal dan kecerdasan.

Apa yang menariknya, sepanjang program ini berlangsung, walaupun keadaan cuaca tidak begitu mengizinkan seperti kejadian jerebu yang melanda Malaysia sekitar bulan September tempoh hari. Penganjur serta wargakerja Dare To Fit wajar mendapat ucapan penghargaan dan syabas atas usaha dan daya kreatif mereka untuk mengadakan program tersebut di dalam perpustakaan! Para peserta berlari-lari anak secara berkumpulan mengelilingi rak-rak buku serta ber-tabata diruang terbuka. Menarik bukan?

Selain memanfaatkan seluruh ruang yang ada, program ini juga adalah amat sejajar dengan kampus Bertam yang berfungsi sebagai kampus kesihatan. Para pensyarah serta staff lain yang terlibat sewajarnya mendapat tepukan gemuruh kerana berani dan komited untuk menyertai aktiviti ini secara sukarela. Ini kerana, kita sedia maklum kadar berat badan yang berlebihan serta obesiti di Malaysia adalah tinggi berbanding negara-negara lain di rantau ini.

Sebagai warga pendidik serta staff di kampus kesihatan, kita seharusnya memberikan contoh tauladan yang baik kepada para pelajar agar mereka turut sama ingin mengekalkan tahap kecergasan mereka untuk sepanjang hayat. Bak kata pepatah, practice what you preach. Diharapkan agar program sebegini dapat diadakan lagi di masa akan datang kerana saya percaya terlalu banyak manfaatnya kepada semua.

1
0