Segamat, 23 Jun 2024 -Projek usahawan Dapur Ibuku merupakan satu inisiatif Unit Zakat Sedekah dan Wakaf (UZSW), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Segamat dengan kerjasama Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM. Projek ini memberikan dana perniagaan kepada pelajar di kalangan asnaf untuk menjana pendapatan. Peluang yang diberikan kepada pelajar asnaf dapat memberi pendedahan kaedah menguruskan perniagaan. Ini bagi memastikan perancangan modal, pasaran dan keuntungan yang maksimum.
Sebagai suatu pendedahan realiti, mereka diberikan ilmu bermula proses membuka perniagaan dengan mendaftarkan nama syarikat dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), memperoleh Sijil Kursus Pengendalian Makanan, mendapatkan suntikan imunisasi tifoid untuk pengendali makanan dan penyediaan tempat untuk berniaga di dalam kampus.
Bagi melicinkan gerak kerja proses membuka gerai di dalam kampus, mereka perlu mempunyai kemahiran memasak dan mengasah bakat. Oleh itu, mereka diberikan latihan dan tips memasak dengan bantuan mentor. Dengan adanya mentor akan dapat memastikan bahan-bahan yang digunakan segar, berkhasiat dan sesuai dengan resepi yang dipilih. Selain itu, mentor akan mengajar cara untuk memasak pada suhu yang sesuai dan memperhatikan waktu memasak agar hasilnya optimum.
Dengan sedikit kekangan masa yang ada, perniagaan yang dijalankan pada hari kuliah adalah di antara jam 5.00 petang sehingga 10.00 malam. Walaubagaimanapun dengan perniagaan secara berkelompok dapat membantu pelajar menyusun masa kuliah dan berniaga dengan lebih tersusun. Projek ini bermula pada bulan Jun 2024 dan akan diteruskan pada semester Oktober 2024 akan datang.
Justeru, universiti bukan hanya tempat mempelajari ilmu secara teori di dalam bilik kuliah malah merupakan tempat dan cabaran yang akan mendewasakan pemikiran seseorang. Namun, bagi mereka yang banyak berdikari dan memikul tanggungjawab serta mementingkan ilmu untuk menaik taraf kehidupan keluarga, mereka perlu meneruskan kelangsungan hidup dengan mencari ruang dan peluang menjana pendapatan sekaligus akan melahirkan usahawan berjaya dan menjadi seorang pembayar zakat pada masa hadapan.