Dahaga Kata: semarak puisi dunia terinfeksi

Seramai 13 orang pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Majlis, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Selangor (UCS) Kampus Puncak Alam telah menjayakan projek tahun akhir secara maya buat julung kalinya iaitu program Dahaga Kata. Program yang dirangka dengan mengangkat isu semasa di dunia untuk diketengahkan dalam bentuk seni tulis dan suara telah berlangsung pada 12 Disember 2020.Program ini berlangsung selama dua jam dengan menyiarkan secara rasmi di pelantar maya Youtube Eventgers Studio. Idea di sebalik penganjuran program ini adalah menghimpunkan dan menjadi pentas bagi golongan pencinta puitis untuk berkarya. Inspirasi program ini telah disuntik daripada masyarakat kini yang gemar untuk berkarya di dalam bidang puisi ini untuk berkongsi pandangan terhadap sesuatu perkara yang berlaku disamping ia juga mampu meningkatkan daya kreativiti yang tinggi dalam masyarakat dimana ia menjadi tunjang utama pelaksaan Dahaga Kata. Penganjuran program ini telah mendapat perhatian masyarakat di negara ini dimana penyertaan program ini dapat dilihat dari negeri yang berbeza malah program ini berjaya meraih perhatian negara jiran iaitu Indonesia yang turut menjadi peserta program ini. Kaedah pelaksanaan program Dahaga Kata bagi kesemua peserta ialah dengan melakukan rakaman mengikut kreativiti masing-masing untuk mendeklamasikan puisi tersebut dan dinilai oleh juri professional.

Lima peserta yang mendapat markah tertinggi setelah dinilai oleh juri professional iaitu Puan Rosmieza Che Mat serta Encik Mohd Yusri Mohd Za’ali di bawa ke malam kemuncak Dahaga Kata dan bersaing mendapatkan gelaran juara. Pada malam kemuncak tersebut, pelbagai intipati menarik telah disiarkan selain dari persembahan lima finalis. Antaranya ialah persembahan khas dari artis jemputan iaitu EB Duet, Pastel Lite dan Malis di samping terdapat elemen cabutan bertuah khas buat penonton yang menonton secara langsung program ini. Pada malam tersebut sekitar 1000 orang penonton secara rasmi telah menyaksikan peserta dari Sabah iaitu saudari Ainun Nasibah menggondol gelaran juara. Program ini yang dikemudikan oleh dua orang alumni UiTM Puncak Alam iaitu Aizad Ashaari dan Sayza Syarafana secara keseluruhan menerima maklumbalas yang positif dari penonton dengan penganjuran program Dahaga Kata. Menariknya program ini juga telah mendapatkan persetujuan Dewan Bahasa dan Pustaka selaku rakan kerjasama rasmi disamping hebahan program ini juga disiarkan di Lensa IPT.

Menurut pengarah program, saudari Nuralia Najwa Roslan bersama dua penasihat program iaitu Encik Muhammad Hafizi Zamri dan Puan Wan Soraya Wan Abdul Ghani serta ahli jawatankuasa program Dahaga Kata yakin bahawa program seperti ini mampu memberi impak yang besar dalam komuniti serta membuka mata khalayak ramai untuk lebih yakin serta meningkatkan mutu kualiti di dalam dunia kesusasteraan ini. Di samping penganjuran program Dahaga Kata, sebagai elemen tambahan serta penutup bagi program ini dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah menyerahkan sejumlah dana serta barangan keperluan ke Pertubuhan dan Kebajikan At-Taqwa, Puchong pada 16 Disember 2020 yang dihadiri oleh penasihat program dan beberapa orang ahli jawatankuasa program. Hal ini berikutan tema yang dibawa sangat dekat dengan masyarakat kini dimana dapat dilihat dengan hal yang berlaku pada masa ini serba sedikit mendatangkan kesan yang mendalam kepada masyarakat di negara ini. Akhir kata, pihak penganjur program ini percaya serta yakin bahawa cabaran norma baharu bukanlah penghalang untuk menganjurkan sebuah program yang berimpak tinggi.