“Crack the Code: Unlocking Language Secrets!”: Usaha Mengukuhkan Penggunaan Bahasa di Sekolah Rendah

KUALA PILAH, 08 MEI 2024 – Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah dengan kerjasama Persatuan Bahasa Arab (PBA) dan EAGLES English Club telah mengadakan program kemasyarakatan “Crack the Code: Unlocking Language Secrets!” pada 8 Mei 2024 bertempat di Dewan Anjung Seri Perpatih, UiTM Kampus Kuala Pilah.  Program yang melibatkan 12 pensyarah APB Kampus Kuala Pilah dan 27 orang pelajar PBA dan EAGLES English Club UiTM Kampus Kuala Pilah telah menyantuni para peserta yang melibatkan murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Dato’ Inas, Johol, Negeri Sembilan. Seramai 31 orang pelajar berumur 7 hingga 12 tahun berserta 10 orang guru pengiring telah terlibat dalam program ini.

Program ini merupakan satu inisiatif Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dan Program Pemindahan Ilmu (KTP) melalui pengukuhan dan pemerkasaan penggunaan Bahasa Inggeris dan bahasa ketiga (Bahasa Arab) yang sangat bermanfaat melibatkan pelbagai aktiviti bahasa di luar bilik darjah. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan bahasa pelajar serta memberi kesedaran mengenai kepentingan berkomunikasi secara berkesan dalam kehidupan seharian mereka.  Hal ini sekaligus meningkatkan keyakinan diri pelajar menggunakan bahasa yang dipelajari serta melatih kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar Sekolah Kebangsaan Dato’ Inas, Johol serta pelajar UiTM selaku fasilitor program tersebut.

 

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Pilah iaitu Encik Aziz Jaffar Mohamed Sharif. Selain itu, program ini juga turut dihadiri oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dato’ Inas, Encik Suhaimi Itam dan Pegawai Unit Hal Ehwal Murid, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Pilah, Encik Roslan Mohd Amin.

Bagi menarik minat para peserta yang terdiri daripada murid-murid sekolah rendah, pihak jawatankuasa aktiviti program mengangkat tema yang berkonsepkan Treasure Hunt. Para peserta perlu menyelesaikan satu misi besar iaitu membuka kunci mangga berdasarkan klu-klu yang diberikan. Bagi mendapatkan klu-klu tersebut, para peserta perlu bergerak secara berkumpulan ke setiap checkpoint bagi menyelesaikan tugasan yang menguji tahap penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Arab para pelajar sendiri.

Di samping itu, penganjuran program ini turut memberi peluang kepada 27 ahli jawatankuasa pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah untuk melibatkan diri dalam program kemasyarakatan terutamanya yang melibatkan masyarakat setempat sekaligus menyumbang kemahiran dan pengetahuan mereka melalui aktiviti pembelajaran bahasa kepada para peserta. Penglibatan pelajar universiti dalam program ini telah memupuk  semangat membantu dan kesedaran sosial untuk sentiasa berkongsi ilmu yang telah dipelajari kepada komuniti setempat walaupun dalam kapasiti kumpulan yang kecil.

Program ini diakhiri dengan sesi persembahan dari para peserta, sesi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan sesi bergambar. Walaupun pihak jawatankuasa memilih tiga kumpulan pemenang utama yang telah berjaya menyelesaikan misi, pihak penganjur turut memastikan bahawa semua peserta yang  hadir membawa pulang hadiah bagi menghargai semangat dan komitmen yang diberikan sepanjang program berlangsung. Kami berharap usaha kecil ini memberikan motivasi dan inspirasi kepada pihak lain untuk turut serta menganjurkan program kemasyarakatan seperti ini pada masa akan datang.

Secara keseluruhannya, program “Crack the Code: Unlocking Language Secrets!” ini menjadi satu platform bagi jaringan kerjasama di antara pihak UiTM, khususnya Akademi Pengajian Bahasa Kampus Kuala Pilah bersama masyarakat dan agensi luar. Tambahan pula, program kemasyarakatan sebegini memberi impak yang positif bukan sahaja kepada komuniti setempat bahkan kepada pelajar universiti dalam pembangunan kemahiran bahasa dan kepimpinan para pelajar. Justeru itu, program-program seperti ini harus diteruskan bagi memupuk semangat, usaha yang positif dalam memberi kesedaran dan inspirasi terhadap kepentingan bahasa Inggeris dan bahasa asing (bahasa Arab) dalam kehidupan dan seterusnya menyumbang kepada pendidikan yang berkualiti dalam komuniti setempat selarasa dengan visi dan misi UiTM.

Penulis: Nurulnabilah Abdul Aziz, Norshida Hashim,  Syahirah Almuddin, Siti Nur Dina Hj Mohd Ali dan Anis Shahira Bazlan