COVID-19: Pusat Jagaan Anak Khas Untuk Frontliner Pusat Perubatan UiTM (PPUiTM)

Pernahkah anda terfikir bagaimana petugas barisan hadapan (frontliner) yang mempunyai anak yang masih kecil terpaksa meninggalkan cahaya mata masing-masing demi tugas? Di kala perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memaksa kebanyakan taska dan pusat asuhan ditutup, petugas frontliner tersebut bagaikan hilang punca memikirkan nasib anak masing-masing.

Nah! Berita baik buat petugas kesihatan Pusat Pakar Perubatan UiTM (PPUiTM) apabila institusi berkenaan prihatin dengan dilema yang membelenggui frontliner.

Menurut Profesor Dr Sazzli Shahlan Kasim, pihaknya prihatin dengan keperluan penjagaan anak buat petugas di PPUiTM yang bertungkus-lumus berkhidmat lebih 12 jam sehari.

“Sebelum PKP bermula, kita sudah memikirkan inisiatif seumpama ini untuk mewujudkan pusat penjagaan sementara untuk keperluan hampir 300 kakitangan. Ruang yang ada di pusat sumber dijadikan tempat untuk penjagaan lebih kurang 15 kanak-kanak mengikut shif bermula jam 7 pagi sehingga 7 malam,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Plus baru-baru ini.

Tutur Pengarah PPUiTM itu lagi, pihaknya cukup memahami keadaan yang mana kakitangan perubatan cukup runsing memikirkan anak yang tiada pengasuh berikutan taska dan pusat asuhan ditutup.

“Tidak mahu isu itu menjejaskan fizikal dan mental petugas, kami ambil langkah pantas untuk sediakan tempat khas dengan khidmat pensyarah perubatan, ahli terapi dan jururawat yang berkelapangan untuk membantu.

“Seperti di dalam taska, kami menyediakan pelbagai bentuk alat bantu belajar dan permainan untuk mengisi masa selain aktiviti ilmiah yang menyeronokkan,” ceritanya penuh semangat.

Sumber :
https://sinarplus.sinarharian.com.my/pusat-jagaan-anak-khas-untuk-frontliner-ppuitm/