COVID-19: Pelajar UiTM Cawangan Terengganu Tuai Hasil Tanaman Cili Fertigasi

KUALA TERENGGANU – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan halangan bagi pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu yang berada di kampus untuk menikmati hasil daripada tanaman cili fertigasi yang kini telah mula memasuki musim menuai.

Sebanyak 1,040 pokok cili yang diusahakan secara fertigasi oleh Bridged MASMED atau Malaysia Akademic of SME Development (Unit Keusahawanan Pelajar UiTM) di atas tanah berkeluasan suku ekar itu dijangka akan membuahkan hasil sehingga mencecah tiga tan.

Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI), Dr Rosman Mahmood berkata, projek fertigasi cili merah atau capsicum annum yang dimulakan awal Februari lalu mendapat bantuan kepakaran daripada Jabatan Pertanian Daerah Dungun.

“Daripada jumlah pokok cili yang ditanam kita jangka musim ini kita mampu tuai hasil sehingga mencecah 3,000 kilogram (tiga tan).

“Walaupun pasaran tidak begitu meluas, permintaan diterima buat masa ini amat memberangsangkan dan cukup untuk membantu komuniti setempat terutamanya warga kampus untuk menikmati hasil cili yang segar dan bermutu pada harga terbaik.

“Tawaran harga yang lebih rendah daripada harga pasaran merupakan salah satu matlamat keusahawanan sosial yang disasarkan oleh pihak universiti,” katanya.

Beliau berkata, selain memenuhi permintaan, hasil tuaian cili itu dapat menjadi galakan kepada golongan pelajar untuk meminati bidang pertanian.

“Ramai yang mendapatkan cili ini berpuas hati kerana selain kegunaan sendiri mereka juga dapat berkongsi dengan jiran tetangga sekaligus membantu mengurangkan masalah komuniti setempat untuk mendapatkan keperluan.

“Sebahagian hasil projek itu disalurkan ke tabung pembiayaan aktiviti keusahawanan universiti ini dalam usaha menyemarakkan lagi aktiviti pembudayaan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Sumber:
https://www.sinarharian.com.my/article/79588/EDISI/Terengganu/PKP-bukan-halangan-tuai-tanaman-cili?fbclid=IwAR2j2ZR6_cHumU9KHOyGRO4PW2Cbvt7fRZCmL1s_INV4-AfpzByTRlPskPk