COVID-19: ‘Kali pertama polis iring bas dipandu’

MELAKA: “Buat pertama kali selepas 21 tahun, saya memandu bas sambil diiringi anggota polis trafik di depan dan belakang,” kata Azman Mustapa. Pemandu bas Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang itu antara yang ditugaskan menghantar pulang pelajar terkandas di kampus akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke kampung masing-masing.

Malam tadi, dia yang sudah 21 tahun melakukan pekerjaan berkenaan, selesai menghantar 20 pelajar UiTM Kampus Jengka ke Terengganu. Selain bas diiringi polis, Azman berkata, pengalaman lain adalah dia memandu dalam keadaan penuh fokus, teliti dan tenang kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat.

“Bas diiringi anggota trafik, saya anggap satu penghormatan tinggi bukan saja untuk saya, tetapi untuk semua pelajar yang dibawa dalam bas saya,” katanya ketika dihubungi BH. Katanya, pematuhan penjarakan sosial, memakai topeng muka, kerap membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman antara yang perlu dititikberatkan sebelum, semasa dan sepanjang perjalanan.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan, ujian air kencing selain bas dinyah kuman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak berkaitan sebelum dan selepas pelajar turun juga antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Begitu telitinya kerajaan dan pihak berkuasa mengawal dan memantau pergerakan pelajar untuk dibawa pulang. Secara peribadi saya amat terharu dengan layanan istimewa dan perhatian yang luar biasa ini,” katanya. Dia juga melihat komitmen bersungguh-sungguh semua pihak termasuk pengurusan universiti untuk memastikan penularan wabak COVID-19 berakhir.

Seorang lagi pemandu bas yang bertugas menghantar pelajar terkandas, Mohd Jamli Ibrahim berkata, pengalaman amat berbeza kerana semua pihak perlu mematuhi SOP ditetapkan. “Saya gembira dapat melaksanakan tugas dengan baik dan lancar menerusi kerjasama amat positif daripada semua pihak sehingga selamat sampai ke destinasi penghantaran,” katanya.

Pergerakan pelajar pulang ke rumah masing-masing bermula Isnin lalu selepas kerajaan mengambil kira kebajikan mereka yang sudah lama terkandas di asrama atau rumah sewa berikutan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu.

Sumber :
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/05/683790/kali-pertama-polis-iring-bas-dipandu?fbclid=IwAR1XXwvVH33WiYE_megTP2rCQjdJVs8iOEjRcjlau75iWARNKY-wWaPs8a0

0
0