COVID-19: Betulkan Yang Biasa Dan Biasakan Yang Betul

Oleh :
Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim

‘Membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul’. ‘Alah bisa tegal biasa.’ Dua pepatah ini semacam memahami dan menepati suasana yang kita alami kini. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19 mencetuskan kebiasaan baharu yang sebelum ini mungkin kita beranggapan sebagai pilihan, tidak sesuai, belum bersedia atau dalam proses untuk membiasakan diri; telah berubah menjadi satu keperluan.

Kebiasaan baharu kini adalah kehidupan membiasakan diri dengan menggunakan talian berbanding amalan kebiasaan (konvensional) sebelum ini seperti belajar di dalam kelas, mengadakan perhimpunan mingguan, mesyuarat secara bersemuka, bersalaman, pergi restoran untuk bersarapan dan seumpamanya.

Kini, semua kebiasaan tersebut berubah secara dalam talian. Urusan perniagaan, pembelajaran dan pengajaran, urusan pentadbiran dan sebagainya adalah kebiasaan baharu secara dalam talian dengan ia menjadi keperluan gaya kehidupan masa kini.

Pada masa lalu, sungguhpun bekerja dari rumah pernah dikemuka untuk dilaksanakan, namun ia tidak dipandang secara serius apatah lagi untuk diamalkan. Berikutan PKP, sama ada kita bersedia atau tidak, kerja dari rumah adalah pendekatan kerja kita pada masa kini. Urusan kehidupan kita secara dalam talian sudah menjadi kebiasaan baharu yang menjadi amalan. Lebih daripada itu, amalan ibadat yang sebelum ini kita lakukan secara berjemaah seperti solat Jumaat, Tarawih sempena Ramadan, acara keagamaan lain di gereja, kuil dan sebagainya tidak lagi boleh dilakukan seperti amalan sebelum ini. Malah, zakat fitrah juga dibuat secara dalam talian.

Perlu berubah

Kita perlu berubah dan menerima hakikat bahawa wabak COVID-19 yang telah meragut ratusan ribu nyawa dan menjangkiti jutaan jiwa warga dunia ‘mewajibkan’ kita untuk bersedia dan menangani kebiasaan baharu secara positif dan produktif. Kita jaga kita, kekal di rumah, kekal sihat, kekal selamat dan kekal tabah dengan ujian COVID-19, kita mesti menang.

Wabak COVID-19 banyak menyedarkan kita betapa pentingnya kesiapsiagaan teknologi dan budaya sihat sama ada dalam bidang kesihatan, infrastruktur, telekomunikasi mahupun infostruktur supaya ia dapat ditangani secara lebih kolektif dan efektif.

Pasca COVID-19 sudah tentunya membawa kesan mendalam buat seluruh umat manusia. Tidak ada yang terkecuali. Semua terlibat. Mungkin tidak pernah terfikir atau tidak pernah langsung terlintas di pemikiran bahawa kita diminta berada hanya di rumah, semata-mata di rumah. Seorang diri berurus niaga, seorang diri menyiapkan tugasan kelas, seorang diri menyelesaikan tugasan pejabat malah seorang diri melayari ilmu. Jika dahulu, cara kita bekerja tidak terlalu serius dengan teknologi, tapi sekarang teknologi bagaikan tsunami. Mahu tidak mahu, tahu atau tidak tahu, cekap atau tidak cekap, kita perlu hadapi teknologi dan jadikannya sebagai teman.

Secara khusus, pendidikan yang merupakan bidang terpenting tidak terkecuali. Ini dapat dilihat bagaimana aspek perkembangan psikologi terutamanya dari segi perkembangan kognitif dan tingkah laku terhadap perkembangan serta kepesatan teknologi. Ia cabaran besar buat para pendidik untuk berhadapan dan menangani suasana ini dengan pendekatan yang efektif dan produktif.

Cabaran menarik

Apakah perkembangan minda akan melalui satu fasa yang baharu apabila teknologi menguasai kehidupan? Apakah perkembangan minda akan terbantut, terganggu atau terancam apabila teknologi membawa arus baharu?

Ahli psikologi dan biologi terkenal Jean Piaget menyatakan minda boleh berkembang dan berupaya mengadaptasikan dengan suasana apabila berinteraksi dengan persekitaran. Semua ini adalah cabaran baharu yang amat menarik.

Bill Gates, semasa diwawancara ketua pengarang Linkedln, Daniel Roth, penuh yakin menyatakan bahawa pasca COVID-19 akan membawa kebiasaan baharu dalam kehidupan. Perspektif beliau adalah kehendak urusan kehidupan dalam bentuk digital benar-benar diperlukan. Beliau menegaskan perkara ini bukanlah pilihan tetapi keperluan.

Dalam hal ini juga, sekolah dan universiti, mahu tidak mahu, ‘wajib’ secara agresif menawarkan program-program berasaskan kepada keusahawanan digital atau e-dagang. Kurikulum inovatif dan kreatif wajar segera dibentuk dengan serius dan ia bukan lagi hanya pilihan kepada budaya kerja konvensional. Para cendekiawan dan profesor negara perlu menggembleng tenaga dan pemikiran untuk pembentukan kurikulum yang dimaksudkan tadi. Kita sama sekali tidak rela dan tidak mahu pasca COVID-19 akan menyebabkan rakyat terutamanya usahawan dan anak-anak muda ketinggalan dengan kebiasaan baharu nanti.

Realitinya, kebiasaan baharu semasa pasca PKP adalah kehidupan yang berasaskan dalam talian dan digital. Hampir setiap urusan kehidupan akan bergantung kepada dalam talian dan digital apatah lagi dalam keadaan vaksin COVID-19 masih belum ditemui dengan jarak sosial akan terus menjadi amalan harian sehingga tempoh ditetapkan.

Persoalannya, dalam suasana kebiasaan baharu ini bagaimana kesiapsiagaan majoriti usahawan bumiputera semasa pasca PKP nanti? Apakah persediaan yang sedang atau telah dilakukan untuk kebiasaan baharu ini? Bagaimana pula dengan tahap kecelikan IT dan keperluan yang dimiliki?

Apa yang pasti, pasca PKP menuntut kita semua bergerak ke arah membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul supaya kebiasaan baharu kita berada pada kehidupan dan laluan yang produktif dan efektif demi agama, bangsa dan negara.

Sumber:
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=1838873

1
0