COVID 19 : 3rd Regional Academic Symposium On Science And Technology (ASST 2020) Dianjurkan Secara Maya

Fakulti Sains Komputer dan Matematik dengan kerjasama Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan telah berjaya menganjurkan program Persidangan “The 3rd Regional Academic Symposium on Science and Technology (ASST 2020)” pada 10 November 2020 yang lepas.

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim.  Naib Canselor UiTM dalam ucapannya melahirkan ucapan tahniah kepada UiTM Cawangan Kelantan di atas usaha menganjurkan program ini walaupun negara pada masa kini berhadapan dengan pandemik COVID-19.  Program ASST 2020 merupakan kali ke-3 penganjurannya sejak 2015 namun sedikit berlainan berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana dianjurkan secara maya untuk pertama kalinya melalui aplikasi Webex.

Tema persidangan ini adalah Shaping the Future with Data Analytics: A Breakthrough in Technology yang memberi tumpuan kepada pembentangan hasil-hasil penyelidikan berasaskan Sains dan Teknologi oleh para akademia, penyelidik dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi di seluruh Malaysia.

Persidangan ini juga telah membawakan barisan penceramah hebat yang terdiri daripada pakar-pakar akademik dan industri iaitu Profesor Dr Daud Mohamad dari UiTM Shah Alam, Dr. Mohd Kamarulzaman Md Akhir dari Universiti Malaysia Perlis dan Encik Mohd Parid Sulaiman, Engineering Director INTEL.

Penyelidikan yang telah dihasilkan daripada beberapa siri persidangan ini tidak dilakukan untuk manfaat warganya sahaja namun untuk dikongsi bersama para ilmuan yang lain untuk sama-sama memajukan keilmuan dalam bidang Sains dan Teknologi dimana pada akhirnya menjadi produk yang akan menguntungkan masyarakat. – Sekretariat 3rd ASST 2020.

1
0