COMPAK MARKET: Menghidupkan Semula Keindahan Budaya Melayu Klasik di UiTM Seri Iskandar

Persatuan pelajar dari Program Teknologi Reka Bentuk Dalaman (PTRD), UiTM Perak Seri Iskandar, Interior Design Student’s Association (IDEAS), telah berjaya menganjurkan satu program yang dinamakan Compak Market dan berjaya melibatkan keseluruhan pelajar dari semester 01 sehingga semester 06. Program yang berlangsung pada 11 Mei 2024 yang lalu telah bermula seawal jam 8 pagi hingga 5 petang di ruang legar bangunan Utama Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur (FSPU). Idea inovatif ini telah diselia oleh gabungan hebat 2 penasihat persatuan pelajar IDEAS, Puan Norfazillah Ahmad dan En Muhammad Suhaimi Musa.

COMPAK membawa maksud KOMPAK iaitu bersatu padu, dan pop-up market kali ini telah membawa semangat bersatu padu di dalam meraikan kepelbagaian dan keunikan budaya Melayu melalui konsep “Tradisional Klasik”. Dengan tema yang dipilih, acara ini telah memberi pengalaman kepada pelajar dan pengunjung untuk merentasi masa ke era yang penuh nostalgia. Pelajar-pelajar yang membuka reruai hadir dengan penuh semangat, menyarungkan pakaian tradisional yang beraneka ragam yang telah mencipta suasana yang ceria dan unik.

Keunikan tema tidak hanya tercermin melalui fesyen, tetapi juga melalui reka bentuk reruai yang menggambarkan imej Melayu tradisional klasik, memperkuat aura keindahan zaman silam. Pelbagai makanan dan hasil kraftangan pelajar dijual di Compak Market. Kebanyakan makanan yang dijual adalah makanan jalanan (street food) atau snek hasil kreativiti pelajar sendiri. Ini memberi mereka peluang untuk mempamerkan bakat dalam bidang kulinari dan kreativiti, dari bahan persediaan hingga proses persembahan dan pembungkusan makanan.

Aktiviti ini telah memberi peluang kepada penganjur untuk belajar mengenai kepentingan menentukan tema atau konsep dari permulaan program bagi memastikan dasar yang kuat dalam menjamin kejayaan sesuatu program. Perancangan konsep yang baik membantu memperuntukkan sumber daya dengan lebih efisien dari segi waktu, tenaga, dan wang, terutamanya bagi pelajar yang terhad dari segi modal dan waktu. Proses pengembangan konsep ini mendorong inovasi dan kreativiti, membantu pelajar mengatasi masalah yang muncul sebelum, semasa, dan selepas program.

Sokongan dari pelajar-pelajar Alam Bina telah hadir memberikan sokongan, menambah kemeriahan dan kegembiraan apabila dapat berinteraksi dan bertukar-tukar gelak tawa bersama dengan rakan-rakan yang lain. Kehadiran penasihat persatuan pelajar dan pensyarah PTRD,  turut memberikan impak positif terhadap kejayaan program ini.

Compak Market bertujuan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui perancangan membuka reruai dan menjual produk. Selain itu, program ini juga bertujuan menggalakkan kreativiti dalam menghasilkan produk yang menggabungkan elemen tradisional dan moden, serta menyokong idea-idea inovatif dalam mengadaptasi elemen tradisional Melayu ke dalam produk atau perkhidmatan yang relevan dengan zaman moden. Rasa kebersamaan dan semangat komuniti dalam kalangan pelajar tercipta melalui perkongsian pengalaman dan pengetahuan budaya, mencipta platform untuk pelajar dari pelbagai latar belakang untuk berinteraksi dan berkolaborasi, serta mempererat hubungan sesama mereka.

Secara keseluruhan, Compak Market bukan sahaja berjaya menghidupkan semula keindahan budaya Melayu klasik, tetapi juga memberikan pengalaman berharga kepada pelajar dalam bidang keusahawanan, kreativiti, dan meningkatkan kemahiran kerjasama di antara satu sama lain. Program ini membuktikan bahawa dengan perancangan yang teliti dan semangat kerjasama, pelajar mampu mencipta acara yang bermakna dan memberi impak positif kepada komuniti kampus.