CODEVORTEX: Java X C++

18 Mei 2024 – MARA Youth Technology Computer Club (MYTECC) merupakan sebuah kelab pelajar di bawah Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Pada 18 Mei 2024 (Sabtu) yang lalu, MYTECC telah menganjurkan sebuah pertandingan pengaturcaraan iaitu “CODEVORTEX: Java X C++”. Program ini telah berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang dan terbuka hanya untuk pelajar Diploma Sains Komputer (CDCS110) UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Program ini adalah bertujuan untuk memastikan pelajar CDCS110 dapat meningkatkan daya pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah justeru dapat membantu pelajar menyelesaikan masalah dalam masa-masa tertentu. Di samping itu, pelajar juga dapat menunjukkan bakat dalam bidang pengaturcaraan yang kian hari menjadi permintaan tinggi dalam industri – industri pekerjaan. Tambahan pula, menjadi satu nilai tambah buat pelajar kerana berani untuk sertai pertandingan pengaturcaraan justeru dapat meningkatkan keyakinan dalam diri.

Program telah berlangsung dari jam 9.00 pagi sehingga jam 1.15 petang di Makmal 3 dan Makmal 5, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.  Program dimulakan dengan taklimat buat para peserta dan pertandingan bermula pada jam 9.30 pagi. Pertandingan in terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori Java dan kategori C++. Peserta perlu menjawab dan menyelesaikan masalah yang diberi mengikut bahasa pengaturcaraan setiap kategori tersebut. Terdapat 5 kumpulan yang bertanding bagi setiap kategori. Setiap kumpulan ini terdiri daripada 3 orang ahli dari kalangan pelajar bahagian 2 dan bahagian 4. Terdapat 10 soalan mengikut tahap iaitu susah, sederhana dan susah diberikan kepada peserta dan mereka perlu menjawab semua soalan dalam tempoh 3 jam sahaja.

Majlis penyampaian hadiah dan penutup telah telah dijalankan di Makmal 3 pada jam 1.00 tengahari. Majlis dimulakan dengan ucapan dari Ketua Pusat Pengajian (KPP) KPPIM, Dr Juhaida Ismail. Majlis diteruskan dengan ucapan dari penasihat 2 MYTECC, En Mohd Azim Zainal. Sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh KPP KPPIM, Dr Juhaida Ismail dan juga Koordinator Kursus Pengajian Sains Pengkomputeran, Statistik dan Matematik, Pn Rozeleenda Abdul Rahman. Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori telah menerima RM 200, tempat kedua menerima RM 150, tempat ketiga menerima RM 100 dan saguhati sebanyak RM25 diberikan kepada semua peserta yang telah berusaha sehabis baik.

Senarai pemenang adalah seperti berikut:

  • Tempat Pertama Kategori C++: Anak Anak klang (Nur Amirah Syahirah Baharuddin, Nurlaila Syahirah Asrul dan Nurul Syafiqah Mohd Ashari)
  • Tempat kedua Kategori C++: Underground (Muhammad Aidil Fikri Mohd Fadhli, Muhammad Asyraff Amran dan Amad Yasin bin Haslizaidi
  • Tempat ketiga Kategori C++: Walawei (Ahmad Fawaz Uzair Mohd Shamsul Irwan, Muhammad Amir Ridzwan Azrai dan Muhammad Hafiz Izuddin Mohd Muzapar)
  • Tempat Pertama Kategori Java: Code Krew Sanders (Muhammad Hazeeq Aiman Zainal ‘Abiddin, Ahmad Adha Mohd Ghani dan Ahmad Amirun Hakim Ahmad Shukran)
  • Tempat Kedua Kategori Java: Matcha Latte (Muhammad Harith Affendi Mohammad Zaini, Melissa Sofia Shahran dan Irfan Wafi Ramli)
  • Tempat ketiga Kategori Java: Déjà vu (Nur Sarah Yasmin Muhamad Saufi, Amalia Amira Rahim dan Nur Damia Aliah Saiful Arman)

KPPIM mengucapkan tahniah dan syabas buat semua peserta yang terlibat. KPPIM juga mengucapkan tahniah buat MYTECC akan penganjuran program yang sangat memberi impak positif kepada pelajar yang terlibat dan berharap agar program-program seperti ini dapat diteruskan. MARA Youth Technology Computer Club (MYTECC) berharap dengan berlangsungnya program ini, dapat melahirkan mahasiswa yang bersaing secara sihat dan serba boleh dalam menyelesaikan masalah dengan pemikiran yang kreatif dan kritis dalam bidang pengaturcaraan ini.