Seri Iskandar, 26 Julai 2024 – Pameran pelajar tahun akhir bagi Program Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian), Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah berlangsung pada 24 hingga 26 Julai 2024. Pameran ini melibatkan seramai enam orang pelajar dari bidang pengkhususan seni catan. Pameran bertajuk CITRA NUSA ini adalah diinspirasikan dari latarbelakang setiap karya pelajar ini yang terdiri dari konteks identiti dan budaya Nusantara. Definisi ‘Citra’ adalah membawa makna gambar, representasi, atau visualisasi. Dalam konteks seni visual pula citra merangkumi pelbagai bentuk karya seni seperti lukisan, catan dan instalasi. Perkataan ‘Nusa’pula membawa erti kepulauan atau tanah air, yang merujuk pada wilayah Nusantara yang kaya dengan budaya dan tradisi. Pameran ini adalah gabungan eksplorasi artistik yang mencerminkan kepelbagaian dan keunikan warisan Nusantara yang mengandungi elemen tradisional dan kontemporari.
Menurut Koordinator Program Seni Halus iaitu Dr Mohd Fawazie Arshad, pameran Citra Nusa ini adalah sebagai bukti kemampuan dan kemahiran di atas segala ilmu dari pengalaman yang diperolehi sepanjang pengajian di Program Seni Halus UiTM Cawangan Perak. Beliau juga berharap agar para pelajar terus berkarya untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan mengembangkan ilmu seni rupa di Malaysia. Bersempena dengan pameran dan juga penilaian akhir ini, Prof. Madya Hasnul Jamal Saidon telah dilantik sebagai Penilai Luar untuk penilaian kali ini.
Perasmian Pameran Sepakad 8.0 iaitu seleksi pameran karya akhir yang melibatkan pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Seni Halus telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr Nur Hisham Ibrahim, Rektor UiTM Cawangan Perak pada 25 Julai 2024 bertempat di Galeri Al-Biruni. Majlis tersebut juga menyaksikan penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik kepada Muhammad Akhil bin Abdul Latiff dari Program Ijazah Sarjana Muda Seni Halus. Pameran ini juga turut dimeriahkan dengan kehadiran pelukis tempatan dan luar negara. Beberapa buah sekolah dalam negeri Perak antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestaman, Sekolah Menengah Kebangsaan Dinding dan Sekolah Seni Malaysia Perak, Sungai Siput turut hadir melawat pameran. Dengan adanya pemeran ini, pendedahan tentang karya kreatif daripada pelajar Sarjana Muda dan Diploma Seni Halus dapat memberi input kepada masyarakat luar dan pelajar sekolah.