CIMB Art & Soul 2024: Pertunjukan Fesyen UiTM Cawangan Perak di MITEC Kuala Lumpur

25 Oktober 2024 – Acara fesyen dan seni CIMB Art & Soul 2024 berlangsung dengan meriah di MITEC, Kuala Lumpur. Acara kolaborasi antara CIMB dan pengiat seni Malaysia termasuklah rekaan fesyen yang mempersembahkan rekaan kreatif ini menonjolkan pelbagai koleksi pakaian lelaki dan wanita dari institusi terkemuka dan pereka tempatan Malaysia. Acara ini turut dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, sebagai tanda sokongan terhadap industri kreatif tempatan.

Salah satu tarikan utama acara ini adalah pertunjukan fesyen fesyen hasil karya pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perak. Sebanyak 16 koleksi pakaian lelaki dan wanita diperagakan, setiap satunya menonjolkan sentuhan unik yang merefleksikan daya kreativiti, teknik dan inovasi dalam rekaan fesyen kontemporari. Melalui koleksi ini, para pelajar menzahirkan keupayaan mereka dalam menggabungkan elemen “Art dan Fesyen”, yang menunjukkan betapa fesyen Malaysia mampu untuk tampil berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Selain UiTM, beberapa institusi pendidikan terkenal turut mengambil bahagian, termasuk Limkokwing University of Creative Technology dan Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology. Penyertaan dari institusi-institusi ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mempamerkan hasil kreativiti mereka, tetapi juga mencerminkan sokongan padu terhadap pembangunan industri seni dan fesyen negara.

Acara ini turut menyaksikan penyertaan pereka fesyen ternama Malaysia seperti Dato Radzuan Radziwill dan Ezuwan Ismail. Selain itu, seni warisan tenunan tradisional juga diperkaya dengan kehadiran penggiat tenun dari Royal Sembilan, yang mempamerkan keunikan seni tenunan Malaysia. Penglibatan pereka dan penggiat tenunan tempatan ini membuktikan komitmen yang tinggi terhadap pemuliharaan seni warisan dan mengangkatnya ke dalam arus fesyen moden.

CIMB Art & Soul 2024 bertujuan menjadi platform bagi memperkasakan bakat tempatan serta memupuk kesedaran terhadap seni dan fesyen Malaysia. Gabungan pelbagai institusi ini membuka peluang bagi para pelajar dan pereka untuk berkolaborasi serta menyemarakkan lagi industri fesyen Malaysia di mata dunia.