Pertandingan dan pameran seni cetak yang telah berlangsung di Galeri Al Biruni (GAB), UiTM Cawangan Perak mempamerkan karya-karya seni cetak yang dihasilkan berdasarkan disiplin atau teknik masing-masing. Pameran ini dikenali dengan nama CHETAKAN PERAK. CHETAKAN PERAK adalah suatu konsep pameran yang membawa tema yang fokus kepada sejarah negeri Perak. Perak merupakan sebuah negeri yang mempunyai sejarah yang unik (sejak dari zaman kuno sehingga kini), keunikannya adalah terletak kepada kisah-kisah mengenai socio-; politik, ekonomi, budaya, serta faktor muka buminya. Kisah-kisah ini penceritaannya seringkali diungkap dalam kepelbagaian bentuk penulisan yang direncanakan dalam bentuk penyelidikan mahupun secara riadah. Segala yang diceritakan itu informasinya begitu menarik dan ada diantara cerita itu amat penting dalam lipatan sejarah negeri Perak.
Negeri Perak, sememangnya kaya dengan sejarah yang mempesonakan, dapat memberikan inspirasi yang tidak terbatas kepada para seniman tempatan. Para peserta pameran dan peserta pertandingan mengetengahkan refleksi pengalaman mereka berkenaan negeri perak. Karya-karya yang dipersembahkan dalam pameran ini memperlihatkan kekayaan budaya dan sejarah dalam negeri Perak.
Seni cetak adalah satu disiplin seni yang tidak asing dalam industri seni visual Malaysia. Melalui karya seni cetak yang dipamerkan, para seniman kita telah mewujudkan karya yang merentasi masa dan membawa kita kembali kepada sejarah Perak yang gemilang. Karya-karya ini mencerminkan kepelbagaian warisan budaya Perak, dari seni bina bangunan bersejarah, tradisi kebudayaan seperti adat, sehinggalah kepada gambaran subjek-subjek yang menjadi simbolik yang menjadi tarikan utama negeri Perak.
Pertandingan CHETAKAN PERAK ini disertai oleh pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), yang mana telah menawarkan wang tunai sebanyak RM 500 bagi pemenang tempat pertama, RM 300 bagi pemenang tempat kedua, dan pemenang tempat ketiga telah membawa pulang sebanyak RM 200. Seramai lima pemenang saguhati telah diumumkan dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 100. Kriteria-kriteria pemilihan karya adalah berdasarkan tema yang disampaikan dengan jelas, imej yang bersesuaian, dan kekemasan disiplin seni cetak dalam penghasilan karya mereka. Juri profesional dalam bidang seni cetak dan pengetahuan luas berkenaan negeri Perak telah dijemput bagi sesi penjurian.
Manakala program pameran pula disertai oleh penggiat seni cetak dan para akedemia dari program Seni Halus UiTM dan koleksi karya seni cetak alumni Jabatan Seni Halus UiTM Cawangan Perak. Pertandingan dan pameran Chetakan Perak ini telah dibiayai oleh geran Dana Kreatif Perak (DKP) & PORT diketuai oleh Dr. Mohd. Fawazie Arshad, dan dibantu oleh Puan Nur Adibah Nadiah Mohd Aripin, Puan Noor A’yunni Muhamad dan Encik Noor Enfendi Desa.