‘Cherishly Charity Project 2020’

Cherishly Charity Project 2020 – Inisiatif Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang Dalam Menggapai Matlamat Pembangunan Lestasi Terhadap Pelajar

Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) terdiri daripada 17 Matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Perhimpunan Agung PBB pada September 2015. Secara ringkas, SDG merangkumi lima dimensi, iaitu kemajuan masyarakat, penjagaan bumi, kemakmuran, keamanan dan kerjasama. Perkara utama terangkum di bawah dimensi itu ialah kemiskinan, kesihatan, pendidikan, perlindungan sosial, peluang pekerjaan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar. Oleh itu. kelestarian hidup bukan hanya diukur dengan harta atau wang, tetapi kehidupan sempurna dan kebahagiaan.

Sebagai langkah untuk mencapai kehidupan sempurna di kampus, Fakulti Perakaunan UiTM Pahang mengambil langkah untuk membantu pelajar dalam menyediakan keperluan pelajar dalam bentuk makanan dan juga keperluan alat tulis. Walaupun penyediaan makanan dan keperluan alat tulis ini mungkin tidak dapat memenuhi keperluan semua pelajar, namun ianya merupakan satu langkah kecil Fakulti Perakaunan dalam mencapai SDG menamatkan kemiskinan dalam semua bentuk di mana-mana dan menggalakkan peluang pembelajaran berkualiti sepanjang hayat.

Secara ringkas, Cherishly Charity Project (CCP) merupakan satu inisiatif yang dilancarkan pada 3 Februari 2020 oleh Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dan akan diteruskan pada masa akan datang. Ianya merupakan satu cetusan idea daripada salah seorang pensyarah Fakulti Perakaunan yang telah meninggal pada tahun 2019. Objektif utama projek ini dilaksanakan adalah untuk membantu golongan pelajar yang memerlukan dengan menyediakan troli bergerak yang dilengkapi dengan keperluan makanan ringan dan juga alat tulis. Troli bergerak tersebut ditempatkan di kawasan tumpuan pelajar untuk memberi kesedaran kepada mereka tentang wujudnya troli bergerak tersebut. Bagi memenuhi keperluan barangan yang disediakan, para pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Pahang telah menyumbang dalam bentuk wang dan barangan secara bulanan. Projek kecil ini merupakan satu jalinan ukhwah di antara pelajar dan pensyarah Fakulti Perakaunan bagi mewujudkan keseimbangan dalam persekitaran di kampus.

Sepanjang tahun 2020, dianggarkan sebanyak RM500 telah berjaya disumbangkan kepada pelajar yang memerlukan dalam bentuk makanan dan alat tulis melalui troli CCP tersebut. Memandangkan kebajikan pelajar sebagai elemen penting di dalam kampus perlu diutamakan dengan mengambil kira aspek keperluan asas dan pendidikan sesuai dengan Matlamat Pembangunan Lestari, projek ini dijangka akan diperluaskan seperti penambahan dari segi bilangan troli bergerak serta kepelbagaian makanan dan alat tulis agar bantuan dapat dihulurkan kepada pelajar dalam skala yang lebih besar.

Berdasarkan pelan strategik universiti, program seumpama ni dapat memberi sumbangan dalam merealisasikan misi jangka panjang dan sederhana UiTM agar berperanan lebih proaktif dalam membudayakan nilai teras SDG selain peranannya sebagai sebuah institusi pendidikan. Teras SDG-1 iaitu Tiada Kemiskinan dan SDG-2 iaitu Kelaparan Sifar adalah sangat bertepatan dengan program yang dianjurkan oleh Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang ini, dan pada masa yang sama merangkumi teras SDG utama yang lain khususnya seperti pendidikan berkualiti.