“Cheerleading” HURES Kekal Emas dalam Sukan Antara Program 2024

Jawatankuasa Sukan Pelajar (JSP) dengan kerjasama Unit Sukan Kampus Bandaraya Melaka telah menganjurkan Kejohanan Sukan Antara Program (SAP) 2024 yang berlangsung di antara 10 hingga 19 Mei 2024.

Sebanyak enam persatuan pelajar telah menyertai dan menghantar wakil bagi pelbagai kategori sukan yang dipertandingkan termasuk Human Resource Society (HURES), Finance Student Association (FINEST), Marketing Student Association (MASA), Hotel & Tourism Management (HOTOUR), Office System Society (BOSS), dan International Business Unity Club (IBUC).

Bagi kategori pasukan sorak atau “cheerleading”, Human Resource Society (HURES) telah mempamerkan persembahan yang amat cemerlang dan memukau sehingga menggondol pingat emas. Dengan kemenangan ini, pasukan sorak HURES berjaya mengekalkan kejuaraan bagi kategori tersebut buat tahun kedua berturut-turut sejak SAP dianjurkan ketika pasca COVID-19.

Dengan persalinan berona biru, kuning dan hitam yang begitu menyerlah, pasukan sorak HURES yang dianggotai oleh 15 orang peserta telah bersaing sengit terutamanya dengan pasukan FINEST dan BOSS, masing-masing yang memenangi tempat kedua dan ketiga.

Kemenangan ini juga telah membuktikan kerja keras pasukan sorak HURES yang telah berlatih sejak sebelum SAP bermula di bawah pimpinan pelajar Bahagian 6 program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia (BA243) iaitu Muhammad Hakimi Aluddin.

Selain itu, HURES juga telah berjaya membawa pulang piala pusingan bagi kategori perbarisan terbaik, satu pingat perak serta empat pingat gangsa yang menjadikan keseluruhan pungutan pingat adalah sebanyak enam pingat. Tahniah dan syabas diucapkan kepada atlet-atlet HURES di dalam SAP 2024!