RAUB – Pusat Pengajian Perniagaan dan Perbankan, Fakulti Pngurusan dan Perniagaan (FPP) di Raub telah berkolaborasi dengan USIM Healthcare, Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Raub, serta Unit Tabung Darah Hospital Daerah Raub dalam menganjurkan program “Health Intervention Day”. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penjagaan kesihatan dan untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai literasi kesihatan. Antara pengisian program adalah program derma darah serta rawatan gigi secara percuma. Selain itu, salah satu komponen penting dalam program ini adalah ceramah kesihatan dari pakar perubatan kesihatan awam dari USIM Healthcare iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz bin Jaafar dan Dr. Amirah binti Azzeri. Dr. Hafiz telah memberikan ceramah kesihatan berkaitan “Vape: Risiko & Impak Kesihatan”. Manakala Dr. Amirah telah berkongsi berkaitan “Kesan Penggunaan Gajet Pada Mata Kita” dalam ceramahnya.
Penceramah ketiga, Puan Nor Aziah Abd Kadir, Pensyarah Kanan dari FPP, UiTM Kampus Raub, menyampaikan hasil kajiannya tentang “Kepelbagaian Ekosistem dan Literasi Kesihatan”. Beliau mendapati bahawa populasi komuniti yang tinggal berhampiran Kawasan Perlindungan seperti di Taman Negara Pahang memiliki tahap literasi kesihatan yang rendah disebabkan oleh faktor-faktor seperti keadaan sosioekonomi yang terhad dan tahap pendidikan yang rendah. Perbincangan yang dijalankan memaparkan informasi yang penting dan relevan, memberi kesedaran tentang kepentingan memahami dan mengamalkan pengetahuan kesihatan dalam kehidupan seharian kerana pada dasarnya, literasi kesihatan yang baik dapat meningkatkan tahap kesihatan serta mengurangkan kos perbelanjaan kesihatan individu dan negara.
Seterusnya, Dr. Nurul Shamimi binti Ahmad Fabillah, Pegawai Pergigian dari Klinik Pergigian Tersang, membincangkan tentang kesihatan gigi dan kesan pemakaian pendakap gigi palsu. Beliau juga memberi pendedahan tentang isu-isu semasa yang berkaitan dengan remaja yang membuat keputusan yang tidak tepat dalam penggunaan pendakap gigi palsu.
Kesimpulannya, program “Health Intervention Day” ini telah memberikan platform yang berharga bagi peserta untuk mendapatkan pengetahuan yang berguna tentang kesihatan. Dengan pemahaman yang lebih baik tentang risiko dan kesan penggunaan vape, kesan penggunaan gajet pada mata, literasi kesihatan, dan kesihatan gigi, diharapkan peserta dapat membuat keputusan yang lebih baik untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan secara keseluruhan.