Check in @ UiTM Raub 2024: TECHXPERIENCE DAY (TechTalk by Alumni)

1 Mei 2024 – Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) UiTM Cawangan Pahang (UCPh) telah menganjurkan sebuah program yang diberi nama TECHXPERIENCE DAY . Program ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada pelajar dan komuniti berkenaan dengan bidang kerjaya dalam dunia teknologi, keselamatan siber dan perkenalan kepada robotic serta memberi ruang dan peluang untuk menceburi dan menyertai pertandingan sukan elektronik atau lebih dikenali sebagai e-Sports. Terdapat tiga aktiviti yang dijalankan serentak dalam TECHXPERIENCE DAY ini iaitu TechTalk with Alumni, Bengkel Robotik: Microbit dan pertandingan e-Sports.

Program TechTalk with Alumni terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pertama adalah “The Life of a Software Developer” dan sesi kedua adalah “ How Safe is Our Data”. Program ini telah berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang. Program ini berlangsung selama 3 jam bermula jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari di DK300. Jumlah keseluruhan pelajar bagi program ini ialah seramai 223 orang iaitu terdiri daripada semua mahasiswa semester 4 Diploma Sains Komputer (CDCS110) Diploma Statistik (CDCS111) yang bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada mahasiswa berkaitan ilmu dan aplikasi teknologi yang mampu dimanfaatkan sebagai kesiapsiagaan diri dalam menempuh alam kerjaya.

Bagi sesi pertama adalah “The Life of a Software Developer” iaitu perkongsian kerjaya sebagai seorang pembangun perisian komputer yang berjaya. Sesi ini disampaikan dengan jayanya oleh Encik Muhamad Nurfirdaus Samsuddin yang merupakan Application Developer (Associate) yang sedang berkhidmat di Touch n Go Digital Sdn. Bhd. Penceramah juga merupakan alumni UiTM. Beliau mempunyai banyak pengalaman dalam membangunkan perisian komputer. Antara input dan topik perkongsian adalah berkenaan bagaimana untuk para pelajar bersiap sedia untuk menghadapi pasaran kerja yang kompetitif kelak. Selain itu, penceramah juga menerangkan dan menunjukkan penggunaan Github sebagai salah satu langkah untuk membangunkan aplikasi secara komputasi awan. GitHub ialah sebuah platform dan perkhidmatan berasaskan awan untuk pembangunan perisian dan kawalan versi menggunakan Git justeru dapat membantu dan membolehkan pembangun untuk menyimpan dan mengurus kod mereka.

Sesi kedua pula adalah “How Safe is Our Data” disampaikan oleh Ts. Irwan Kurnawan Amat Sapuan yang merupakan Head of Cyber Defense & Operations yang sedang berkhidmat di Petronas. Penceramah juga merupakan alumni UiTM. Beliau mempunyai 18 tahun pengalaman dalam Teknologi Maklumat dan Keselamatan Maklumat (Information Security). Menerima anugerah “Cybersecurity Professional of the year” pada tahun 2017 daripada Cybersecurity Malaysia. Beliau juga diiktiraf sebagai Pakar Teknologi dalam Keselamatan Siber daripada Malaysia Board of Technologist. Antara input dan topik perkongsian adalah berkenaan dengan isu-isu keselamatan siber di Malaysia. Beliau juga menunjukkan demo bagaimana beliau mengesan sesuatu ancaman di dalam siber dan menunjukkan cara untuk menghadapi ancaman siber itu.

Kebanyakan peserta memberikan penilaian positif terhadap penceramah dan pelaksanaan program ini. Program ini juga adalah sebagai persiapan diri untuk menghadapi dunia pekerjaan dan juga pembangunan ilmiah di kalangan pelajar. Diharapkan program anjuran Pengajian Sains Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, (KPPIM) UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub ini dapat memberi impak yang sangat positif kepada semua pelajar terutamanya pelajar Diploma Sains Komputer (CDCS110) dan Diploma Statistik (CDCS111).