Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) UiTM Cawangan Pahang (UCPh) telah menganjurkan sebuah program yang diberi nama TECHXPERIENCE DAY pada 1 Mei 2024 yang lalu. Program ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada pelajar dan komuniti tentang bidang kerjaya dalam dunia teknologi, keselamatan siber dan perkenalan kepada robotic serta memberi ruang dan peluang untuk menceburi dan menyertai pertandingan sukan elektronik atau lebih dikenali sebagai e-Sports. Terdapat tiga aktiviti yang dijalankan serentak dalam TECHXPERIENCE DAY ini iaitu TechTalk with Alumni, Bengkel Robotik: Microbit dan pertandingan e-Sports.
Sukan elektronik atau e-Sports adalah sebuah sukan yang mendapat tempat di hati semua pada masa kini terutamanya bagi remaja dan belia. E-sport adalah sebuah sukan yang memerlukan pemain bermain permainan video samada menggunakan telefon pintar, komputer riba mahupun komputer peribadi. Perkembangan e-Sports di Malaysia agak progresif. Justeru, seiring dengan perkembangan teknologi dan e-Sport kini, KPPIM UCPh telah menganjurkan sebuah pertandingan e-Sport iaitu E-SPORT: PUBG Mobile League yang merupakan salah satu aktiviti dalam program TECHXPERIENCE DAY ini.
Terdapat 22 kumpulan telah menyertai pertandingan ini yang terdiri daripada kalangan pelajar UCPh Kampus Raub dan juga penduduk sekitar Raub, Lipis dan Temerloh. Jumlah maksimum ahli untuk satu kumpulan adalah 5 orang (4 orang pemain dan 1 orang simpanan). Setiap kumpulan perlu membuat bayaran penyertaan sebanyak RM50. Johan akan menerima wang tunai berjumah RM300, tempat kedua sebanyak RM200 dan tempat ketiga sebanyak RM100. E-certificate akan diberikan kepada semua pemain. Setiap pemain diberi minum pagi dan kudapan sepanjang pertandingan dijalankan. 11 kumpulan ditempatkan di Room A: Bilik Seminar 1 manakala 11 lagi kumpulan ditempatkan di Room B: Bilik Seminar 2.
Pusingan pertama pertandingan E-SPORT: PUBG Mobile League ini telah bermula pada jam 9.15 pagi dan berakhir pada jam 1 tengah hari. Pemain telah bermain 4 maps untuk pusingan pertama ini. 8 kumpulan yang mendapatkan markah tertinggi bagi setiap Room dipilih untuk ke pusingan terakhir. Pusingan akhir yang melibatkan 16 kumpulan ini telah bermula pada jam 2.15 petang dan berakhir pada jam 4.30 petang. Pemain telah bermain 4 maps untuk pusingan akhir ini. Pemenang untuk 3 tempat teratas adalah berdasarkan markah yang diperoleh. Pusingan akhir telah disiarkan secara live di Dewan Kuliah 3. Justeru, pusingan akhir ini telah disaksikan oleh pelajar UCPh Kampus Raub yang berminat. Tempat pertama menjadi milik RH TERMINATOL, tempat kedua milik SUPERZ dan pemenang tempat ketiga ialah NOVA MOPOKO.
Perjalanan dan pengurusan E-SPORT: PUBG Mobile League ini diketuai oleh kelab pelajar KPPIM iaitu MYTECC dibawah pimpinan ketua biro program; Saudari NUR BATRISYIA BINTI NORUL HAIZAL. Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Pusat Pengajian KPPIM iaitu Dr Juhaida Ismail. Peserta telah memberikan maklum balas yang positif terhadap pertandingan e-Sports ini dan mereka berharap agar program ini diteruskan dengan penganjuran e-Sports yang lain pula seperti Mobile Legends, COD dan FIFA. Diharapkan dengan penganjuran program ini dapat memberi impak yang positif kepada semua serta membuka mata dan memberi pendedahan tentang e-Sport ini.