Ceramah Khas Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias Al Hafiz Buka Pencarian Ikon Muaddib Fakulti Pendidikan

Pejabat Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sosial Staf Fakulti Pendidikan, serta Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) baru-baru ini telah menganjurkan Majlis Pelancaran Pencarian Ikon Muaddib Fakulti Pendidikan. Antara objektif utama program adalah untuk melahirkan mahasiswa berwibawa, berintegriti dan mempunyai kredibiliti yang tinggi bagi memikul tangungjawab sebagai imam dan pemimpin dalam masyarakat.

Majlis yang berlangsung pada 1 November 2021 ini dibahagikan kepada 2 sesi. Sesi pertama merupakan Majlis Bacaan Yassin yang dipimpin oleh Dr. Muhammad Faiz Sabri, pensyarah Program Pendidikan Seni dan Senireka, Fakulti Pendidikan. Sesi kedua yang bermula usai para hadirin menyempurnakan solat Isya’ ialah Ceramah Khas oleh Yang Berbahagia Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias Al Hafiz sebelum beliau melancarkan Pencarian Ikon Muaddib Fakulti Pendidikan. Sesi kedua telah dibuka dengan bacaan petikan Al-Quran yang disampaikan oleh Dr. Hajar Opir, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), ACIS, manakala terjemahannya pula oleh Tuan Haji Zaharul Azwn Abd. Razak, Pensyarah Fakulti Pendidikan.

Dengarkan sesi ceramah yang telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias Al Hafiz melalui pautan ini: https://www.youtube.com/watch?v=LvOllbahNuU

Bertemakan ‘Generasi Pendidik Kontemporari’, Pencarian Ikon Muaddib telah berjaya mengetengahkan 33 muaddib daripada pelbagai program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Fakulti Pendidikan. Para muaddib ini akan dibimbing oleh 8 murabbi (mentor) yang terdiri daripada kalangan pensyarah ACIS dan Fakulti Pendidikan.

Tahniah kepada para muaddib yang telah terpilih. Semoga dapat melengkapkan cabaran dan tugasan yang bakal diberikan dengan sempurna. Program diharapkan berjaya menghasilkan permata berkilauan yang mampu memimpin diri dan warga komuniti serta menjadi insan yang berintegriti dengan wibawa dan integriti yang tinggi.

Titipan penghargaan yang tidak terhingga kepada tetamu jemputan istimewa, Yang Berbahgia Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias Al Hafiz, di atas kesudian beliau berkongsi ilmu dan bait-bait nasihat melalui ceramah khas yang telah disampaikan, serta di atas masa yang diluangkan bagi menghadiri program ini. Pejabat Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan serta Kelab Kebajikan dan Sosial Staf Fakulti Pendidikan juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada rakan kerjasama, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), yang sudi bersama-sama berpadu minda dan usaha demi mencari imam-imam muda yang bakal memimpin masyarakat. Semoga sinergi dan kerjasama ini dapat dipanjangkan kepada penganjuran program-program berimpak tinggi yang lain di masa-masa yang akan datang.