MACHANG, 12 Mac – Bulan Februari sempena bulan Syaaban 1445H, merupakan salah satu daripada bulan-bulan istimewa dalam islam yang mana bulan Syaaban merupakan bulan yang penuh keberkatan kerana ianya bulan di ambang Ramadhan. Sehubungan dengan itu, 29 Februari yang lepas, Pusat Islam UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang telah mengadakan satu program di ambang Ramadhan iaitu program ceramah bertajuk ‘Persiapan Diri Menyambut Ramadhan Al-Mubarak’ kepada semua warga UiTM Cawangan Kelantan.
Antara objektif program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi kesedaran tentang pentingnya untuk kita sebagai umat Islam membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi bulan yang ditunggu-tunggukan oleh semua umat Islam iaitu bulan Ramadhan yang mana bulan tersebut dapat memberi impak yang besar dalam kehidupan seharian kita.
Secara keseluruhan, program yang diadakan berjalan dengan lancar secara atas talian di Youtube Rasmi UiTM Cawangan kelantan. Program dimulai dengan ucapan alu-aluan dan bacaan doa yang dipimpin oleh Tuan Moderator iaitu Encik Mohamed Izham bin Mohamed Nor. Ucapan alu-aluan ini sedikit sebanyak memberi kesan yang positif kepada semua warga UiTM yang hadir untuk memahami secara lebih mendalam berkenaan dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak.
Program ini diteruskan dengan Slot Penceramah yang bertajuk ‘Persiapan Diri Menyambut Ramadhan Al-Mubarak’ yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Akademik Pengajian Islam Kontemporari UiTM Cawangan Kelantan iaitu Dr. Ahmad Murshidi bin Mustapha. Beliau mengupas secara mendalam beberapa perkara penting sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada semua warga UiTM antaranya ialah Taubat sebenar-benarnya, banyakkan berdoa supaya diberi kekuatan dan semangat untuk menghadapi bulan Ramadhan, mengurangkan makan, mengulangi hukum-hakam berkaitan puasa, susun segala aktiviti dan program di bulan Ramadhan dan akhir sekali, persiapan hati iaitu berasa seronok dan gembira untuk menghadapi bulan Ramadhan.
Akhir kata, seramai 3,607 peserta hadir dalam talian bersama-sama mendengar kupasan yang dilontarkan oleh Dr. Ahmad Mursyidi di Youtube Rasmi UiTM Cawangan Kelantan dan kebanyakan para hadirin memberi cadangan supaya program-program sebegini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang kerana dapat memberi kesedaran serta mengingatkan mereka berkenaan dengan keistimewaan dan kebesaran bulan Islam.