Ceramah Akta 605 – Caknakah Kita?

SHAH ALAM – Unit Kualiti dan Strategi, Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM Shah Alam telah menganjurkan Program Ceramah “Akta 605 – Caknakah Kita?” pada 25 Ogos 2022 bertempat di Dewan Kuliah C, Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM Shah Alam bagi tujuan memberi kefahaman kepada staf berkenaan Akta 605 (Tatatertib dan Surcaj) serta hukuman yang boleh dikenakan.

Ceramah yang disampaikan oleh Encik Shahrin Nordin, Ketua Pegawai Undang-undang, Pejabat Penasihat Undang-undang UiTM ini dihadiri secara bersemuka serta atas talian oleh 215 orang warga Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) dan staf di luar KPK. Program ini bersiaran secara langsung melalui aplikasi Zoom dan saluran rasmi Youtube Kolej Pengajian Kejuruteraan bagi memberi peluang kepada staf di luar KPK untuk turut serta dalam meningkatkan kefahaman berkaitan dengan Akta 605.

Melalui ceramah ini, Encik Shahrin memberikan penjelasan berkenaan dengan tatakelakuan pegawai badan berkanun yang perlu dipatuhi serta prosedur tindakan tatatertib dan surcaj. Beliau juga berkongsi maklumat berkenaan kes-kes yang melibatkan kesalahan di bawah Akta 605 yang berlaku di universiti luar untuk dijadikan pengajaran dan teladan. Secara keseluruhannya, program ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat maklumbalas yang positif daripada peserta program. Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program ini.