SHAH ALAM , 18 JANUARI 2023 – Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuka tirai 2023 dengan penganjuran program CCA Open Day 2023 dalam usaha untuk mempromosikan dan memperkenalkan program-program akademik setiap pengajian di bawah KPSK.
Kolej Pengajian Seni Kreatif atau College of Creative Arts (CCA) merupakan Kolej Pengajian kedua di UiTM dan telah beroperasi secara rasmi sejak Februari 2021. Terdapat tujuh (7) buah pusat pengajian di bawah iaitu Pengajian Seni Liberal, Pengajian Seni Persembahan, Pengajian Seni Digital dan Imejan, Pengajian Seni Reka, Pengajian Konservatori Muzik, Pengajian Seni Halus dan Pengajian Pascasiswazah. Semua pengajian ini terletak secara strategik di UiTM Shah Alam, UiTM Kampus Puncak Perdana dan UiTM Kampus Puncak Alam. Manakala kebanyakan program Diploma juga turut dijalankan di beberapa kampus cawangan yang lain seperti UiTM Machang, Kelantan; UiTM Seri Iskandar, Perak; UiTM Lendu, Melaka; UiTM Merbuk, Kedah; dan UiTM Kota Samarahan, Sarawak. Semua program akademik yang ditawarkan oleh setiap pusat pengajian dipromosikan sepanjang CCA Open Day 2023, yang mana berlangsung selama satu hari di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam.
Majlis Perasmian CCA Open Day 2023 dihadiri barisan kepimpinan eksekutif KPSK:
Profesor Dr. Shahanum Md. Shah, Penolong Naib Canselor, KPSK;
Prof Madya Ts. Dr. Rusmadiah Anwar, Dekan Akademik dan Antarabangsa, KPSK;
Prof Madya Ts. Dr. Wan Aida Wan Yahaya, Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN);
Profesor Dr. Amer Shaker Zainol, Dekan Hal Ehwal Pelajar KPSK; dan
Prof. Madya Dr. Sharifah Faizah, Dekan Penyelidikan dan Inovasi, KPSK.
Objektif utama penganjuran CCA Open Day 2023 adalah untuk menarik tumpuan masyarakat awam serta memaklumkan berkenaan prospek pengalaman belajar di KPSK, UiTM. Selain dari itu, CCA Open Day 2023 ini memberi peluang kepada para pelajar khususnya di dalam bidang pengajian Pengurusan Kreatif, untuk mempraktikan aspek pengurusan seni persembahan dan memberi pendedahan interaksi secara berkesan bersama komuniti serta membentuk hubungan kerjasama profesional. Sebagai nilai tambah, program seumpama ini juga memupuk nilai apresiasi seni serta proaktif di dalam kegiatan komuniti dan amal jariah.
Profesor Dr. Shahanum Md. Shah selaku Penolong Naib Canselor KPSK menyatakan, harapannya adalah agar semua warga Kolej Pengajian Seni Kreatif dapat menjayakan CCA Open Day 2023 bagi meneruskan legasi keberlangsungan KPSK dengan melibatkan warga akademik, pentadbiran dan pelajar beserta industri, komuniti dan alumni secara menyeluruh. Konsep pemindahan ilmu (Knowledge Transfer) dipraktikan dengan memberikan peluang untuk pengalaman mengurus dan berkomunikasi dengan pelbagai pemegang taruh sepanjang perancangan dan pelaksanaan program seumpama ini. Kemahiran insaniah seumpama ini adalah satu esensi bagi pelajar KPSK agar bakat mereka diasah dengan sebaiknya dalam memastikan kelestarian kualiti graduan KPSK, sejajar dengan Pelan Strategik UiTM 2025 ke arah Globally Renowned University 2025.