“Campus Walk With Rector” – Usaha UCS Kempen 10,000 Langkah

8 Jun 2024 – Program “Campus Walk with Rector” anjuran Unit Sukan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor (UCS) telah berlangsung dengan jayanya dengan penglibatan pelajar dan staf seramai 728 orang. Program ini merupakan wadah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan warga kampus, selain meningkatkan tahap kesedaran warga mengenai kepentingan menjaga kesihatan.

Program telah menyaksikan kemeriahan aktiviti “powerwalk” yang diketuai oleh YBrs Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UCS, berjalan sekitar kolej kediaman Kampus Puncak Alam dengan rekod perjalanan sejauh 3.5km, dan lebih 5000 langkah. Para peserta juga telah menyertai senamrobik sebelum aktiviti berjalan kaki yang bertempat di Dewan Serbaguna, Kampus Puncak Alam.

Antara objektif penganjuran adalah memenuhi hasrat bersama YBrs. Prof. Dr. Rektor dan juga Pengurusan Eksekutif UCS bagi memupuk budaya bersukan di samping meningkatkan tahap kesedaran kepentingan kesihatan fizikal dan mental. YBrs. Prof. Dr. Rektor juga menyarankan agar program seumpama ini dilaksanakan secara berterusan dan sistematik supaya impaknya dapat dikecapi, sekaligus mengeratkan ukhuwah antara kakitangan dan pelajar UCS.