SHAH ALAM – Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati Sesi 2022/2023 UiTM Shah Alam telah berjaya mengadakan program Cabaran Media Baharu:Awas! Anda Sedang Diperhatikan! Program ini diadakan di Dewan Platinum Melati pada 30 Jun 2022 jam 8:00 malam dan turut dihadiri oleh dua panel jemputan.
Program ini merupakan anjuran Exco Penerbitan dan Publisiti, saudari Nurmanisa Marhaya Binti Mohd Nafiah bersama Penasihat Program Encik Zahiruddin Jaidir yang telah menjalankan program ini dengan jayanya. Program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran Srikandi Melati berkenaan dengan isu penipuan yang melibatkan wang ringgit yang semakin menjadi-jadi pada masa kini dan memberi langkah yang berhati-hati kepada Srikandi Melati agar lebih cakna dengan penipuan terutamanya dalam media sosial. Justeru itu, dengan adanya program ini dapat mengelakkan Srikandi Melati menjadi salah seorang mangsa penipuan ‘scammers’ di luar sana.
Program ini telah menampilkan panel jemputan pertama iaitu ASP Mohd Farhan Bin Jamion, Ketua Bahagian Jenayah Komersial IPD Shah Alam. Beliau sempat berkongsi satu tips kepada Srikandi Melati agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan iaitu “Stop, Think, Act and Respond (S.T.A.R)” apabila menghadapi situasi semasa berhadapan dengan ‘scammers’ di luar sana. Panel jemputan kedua ialah Encik Mohd Khairil Ashraf Bin Mohamad Karid, Pegawai Kanan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kad Kredit (AKPK).
Pengarah Program, Nurmanisa Marhaya Binti Mohd Nafiah berkata “ Semoga Srikandi Melati memperoleh ilmu berkenaan isu penipuan dan juga mempelajari lebih banyak pengetahuan bagaimana untuk menangani isu penipuan apabila menghadapi dunia realiti pada masa akan datang. Semoga setiap ilmu yang dipelajari dapat dipraktikkan. Akhir kata, semoga program ini menjadi satu ikutan untuk kolej melati dan juga kolej-kolej lain malahan IPTA di luar sana untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar berkenaan dengan isu penipuan”