Cabaran kampus hijau UiTM

eBook Greenation UiTM

Memiliki kampus yang hijau dan lestari bukan sahaja dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran kondusif, malah turut menjadi kayu pengukur kepada komitmen pengurusan sesebuah universiti dalam mempromosi dan membudayakan amalan tersebut dalam kalangan warganya.

Dalam konteks lebih luas, usaha mewujudkan ekosistem hijau turut dijadikan fokus perbincangan dalam beberapa acara utama peringkat tempatan dan antarabangsa seperti Forum Bandar Malaysia (MUF2019), Forum Bandar Dunia (WUF2018) dan matlamat pembangunan lestari 2030 (SDGs).

Menyedari perkara tersebut, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan kempen Greenation@UiTM pada 13 Jun ini dengan sasaran kesemua 36 kampusnya di seluruh negara memenuhi piawaian UI-Green Metric World University Ranking, sekaligus menyaksikan beberapa inisiatif bakal dilaksanakan pengurusan universiti dalam mendepani beberapa cabaran bagi merealisasikan hasrat murni tersebut.

Mengulas perkara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Dr. Mohd. Azraai Kassim mengakui cabaran pertama yang perlu ditangani adalah memastikan setiap warga kampus memiliki tahap kesedaran dan pemahaman tinggi terhadap konsep kampus hijau yang hendak dilaksanakan. Katanya, hal ini kerana sesuatu proses perubahan hanya dapat dilakukan apabila pemikiran dan tingkah laku golongan sasar berjaya dipengaruhi melalui pemindahan ilmu pengetahuan dan maklumat berterusan.

Untuk rekod, UiTM mempunyai lebih 160,000 pelajar dan 17,488 kakitangan di seluruh sistemnya dan jika angka tersebut diambil kira, usaha merakyatkan amalan hijau mungkin nampak sukar sekiranya dilakukan secara berasingan.

Justeru pendekatan mengintegrasikan kesemua bidang kepakaran di 24 fakulti di universiti awam terbesar ini di bawah sebuah jawatankuasa induk dikenali Jawatankuasa Kelestarian UiTM adalah satu langkah yang wajar dipuji. Melalui sinergi ini, enam kluster utama iaitu infrastruktur dan fasiliti, tenaga hijau, pengurusan air, sisa pepejal, sistem pengangkutan, pendidikan dan penyelidikan diwujudkan bagi merancang, menggubal, menyelaras dan memantau kesemua inisiatif yang bakal dimasukkan ke dalam model kampus lestari UiTM.

Pada ketika ini, tugas utama jawatankuasa tersebut adalah menjalankan aktiviti pengumpulan data dan merangka beberapa kempen bercorak kesedaran dan pendidikan di kampus induk Shah Alam sebelum diluaskan kepada kampus-kampus cawangan di seluruh negara. Bagaimanapun harus diingat, kegagalan jawatankuasa ini menyusun strategi yang efektif akan menyebabkan UiTM berfungsi seperti biasa (business-as-usual).

Selain memperkasa kesedaran warganya, turut menjadi cabaran kepada pewujudan kampus hijau UiTM adalah kelestarian pembangunan sekitar. Berada di tengah-tengah bandar besar seperti Shah Alam, institusi berusia 63 tahun ini seharusnya lebih cakna dan sensitif terhadap peranan dan sumbangannya kepada masyarakat sekeliling. Dalam hal ini, peranan universiti sebagai pemangkin masyarakat perlu bergerak seiring dengan agenda kampus hijau yang ingin dicapai.

Sebagai contoh, memastikan setiap aktiviti yang dianjurkan di dalam kampus akan menyumbang kepada perubahan persekitaran termasuk sosioekonomi dan alam sekitar. Sesi libat urus bersama masyarakat perlu diperbanyakkan bagi memberi gambaran sebenar terhadap usaha dan pencapaian universiti.

Menjelaskan perkara ini, Mohd. Azraai mendedahkan, beberapa perancangan khusus sedang diteliti pihaknya bagi memastikan peranan dan sumbangan UiTM sebagai agen perubahan kepada masyarakat dalam aspek kelestarian dapat dimaksimumkan. Sebagai contoh, peningkatan kawasan yang dilitupi dengan pokok-pokok melalui penanaman moden seperti laman menegak (vertical garden) dan kebun atas bumbung (roof garden).

Menurutnya, perancangan tersebut merupakan sebahagian daripada proses penyusunan semula beberapa inisiatif yang sebelum ini dijalankan di peringkat fakulti. Pendekatan yang lebih holistik dan berpotensi akan turut ditambah seperti pemasangan panel solar serta pemasangan lampu menggunakan sensor bagi penjimatan tenaga. Turut akan dilakukan adalah pembinaan kurikulum baharu serta penyelidikan berteraskan teknologi hijau bagi menyokong kelestarian kampus.

Kesemua inisiatif tersebut adalah usaha menambah nilai program-program pemindahan ilmu kepada masyarakat dan sekolah yang giat dilakukan UiTM secara antara disiplin meliputi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar sejak beberapa tahun lalu. Usaha membawa universiti dekat kepada masyarakat seperti ini bukan sahaja mewujudkan situasi menang-menang, malah akan turut membina sebuah ekosistem yang mapan di antara universiti dan masyarakat yang saling menyokong antara satu sama lain.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM Shah Alam.

Sumber:
https://www.utusan.com.my/rencana/utama/cabaran-kampus-hijau-uitm-1.961024

1
0